Kita Tidak Janjikan ‘Setinggi Langit’ – Ahmad Zahid
TAWAU, 23 Feb – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu tidak akan menjanjikan pelbagai perkara yang tidak boleh dilaksanakan apatah lagi janji ‘setinggi langit’.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri seterusnya berkata sebaliknya apa yang dijanjikan adalah berpaksikan kepada kepentingan rakyat yang harus diselesaikan.
“Kita tidak akan janjikan setinggi langit tetapi masalah asas harus diselesaikan…Lebuh Raya Pan Borneo mesti disiapkan dengan cepat…kita mahu pelaburan banyak datang ke Sabah…kita mahu selamatkan negeri Sabah dijadikan keutamaan. Insya Allah ini adalah antara manifesto kita. Sekali kita berjanji kita wajib tepati,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan amanat pada Majlis Sambutan Ulang Tahun UMNO Sabah ke-34 di sini hari ini.
Turut hadir Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh, Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin serta seluruh pimpinan yang lain.
Ahmad Zahid seterusnya menambah 34 tahun perjuangan UMNO di Sabah, mereka telah menempuh pelbagai cabaran dan dugaan.
“34 tahun UMNO Sabah…ramai anggap dan mahu UMNO terkubur tetapi saya yakin dengan pimpinan UMNO negeri ini dan insya Allah akan muncul dengan lebih kuat.
“UMNO di Sabah bukan ianya parti Malaya…UMNO di Sabah bukan parti penjajah…UMNO di Sabah adalah permintaan rakyat Sabah sendiri dan itulah sebabnya kita berada bersama-sama.
“UMNO bukan parti bermusim…samaada musim Pilihan Raya Kecil (PRK), Pilihan Raya Negeri (PRN) atau Pilihan Raya Umum (PRU)…2018 bagaimana UMNO Sabah hampir dibubarkan, tetapi hari ini bangkit semula dengan keupayaan seluruh pimpinan, Alhamdulillah,” ujarnya.- UMNO Online