34 Tahun UMNO Sabah Bukan Tempoh Singkat – Bung Moktar

TAWAU, 23 Feb – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata perjalanan perjuangan UMNO di negeri itu selama 34 tahun bukanlah satu tempoh yang singkat.

Malah kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, tempoh berkenaan memperlihatkan kekuatan yang ada dalam menempuh pelbagai cabaran hingga UMNO mampu bertahan ke hari ini.

“34 tahun bukan perjalanan singkat.Dalam tempoh ini UMNO Sabah lalui pelbagai liku cabaran rintangan pahit manis…macam-macam ada tetapi percayalah parti yang dibina atas landasan yang ikhlas dan bertawakkal kepada Allah kita akan akan terus bertahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun UMNO Sabah ke-34 yang disempurnakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh, Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, serta seluruh pimpinan yang lain.

Bung seterusnya menegaskan UMNO bukanlah sebarang parti sebaliknya berjuang demi kepentingn rakyat.

“UMNO bukan parti cikai…bukan parti sifir dua..bukan parti cap ayam…UMNO berjuang demi rakyat, agama dan negara. Saya bersyukur dapat rayakan ulang tahun UMNO Sabah ke 34 tahun bersama-sama hari ini.Pilihan kita hanya satu iaitu menang dalam pilihan raya…nak menang buat cara mahu menang…jangan niat nak menang tetapi kerja mahu kalah.

“Justeru sempena 34 tahun ulang tahun, inilah peluang kita gerakkan seluruh jentera kita, kudrat kita. Peluang tidak akan datang berkali-kali tetapi satu kali dalam hidup…berjanjilah semua kita akan gerakkan kudrat menangkan calon parti kelak,” ujarnya.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit