Anugerah Koperasi Wanita Platform Hubungkan Pemain Industri, Pemegang Taruh

KUALA LUMPUR, 22 Feb – Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menyifatkan Anugerah Koperasi Wanita sebagai platform terbaik dalam menghubungkan pemain industri dan pemegang taruh dalam sektor koperasi.

Beliau juga Ketua Wanita UMNO Malaysia berkata ia penting untuk berbincang tentang hala tuju dan masa depan koperasi.

Noraini berkata demikian menerusi hantaran di Facebook beliau bagi berkongsi penganjuran
Majlis Anugerah Koperasi Wanita yang diadakan sempena penganjuran Voice Of H.E.R Festival 2025 bertempat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur yang disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick.

“Di dalam majlis ini, YB Menteri KUSKOP telah menyampaikan Anugerah Koperasi Wanita yang dianugerahkan kepada Koperasi Puteri Terbilang Malaysia Berhad (KOPUTRI).

“KOPUTRI turut bakal menerima geran Bantuan Pembangunan sebanyak RM30,000 yang akan disalurkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sebagai insentif dan galakan kepada koperasi wanita lain untuk turut mencetuskan kejayaan. Tahniah KOPUTRI!” katanya.

Dalam pada itu Ewon Benedick turut sama merasmikan Pra-Pelancaran Penubuhan Koperasi JELITA Malaysia Berhad yang ditubuhkan untuk usahawan wanita di seluruh negara.

“Ianya bakal menjadi satu platform untuk wanita menjalani latihan kemahiran, perkhidmatan dan juga perniagaan,” ujar Noraini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Datuk Rusli Jaafar dan Pengarah SKM Wilayah Persekutuan, Fadilah Salim. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit