UMNO Sabah 34 Tahun, Terus Sedia ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ – Jeffery Nor
KOTA KINABALU, 21 Feb – Menjelang ulang tahun UMNO Sabah yang ke-34, Pengarah Jentera Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffery Nor Mohamed menegaskan bahawa sambutan yang bakal diadakan adalah satu manifestasi keberadaan parti yang berteraskan semangat ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’.
Menurut beliau, walaupun terdapat usaha dari pihak tertentu yang cuba menafikan penglibatan UMNO di Sabah namun realitinya tidak dapat dinafikan kerana trek rekod UMNO bersama Barisan Nasional (BN) dalam pembangunan tidak dapat ditandingi.
“Tumpuan utama UMNO sentiasa diberikan kepada penyelesaian masalah rakyat secara jelas dan benar. Justeru, keutamaan menyemarakkan perjuangan untuk UMNO Sabah 34 tahun ini haruslah ke arah iltizam untuk menangani isu-isu yang mengganggu kehidupan harian rakyat,” katanya kepada UMNO Online.
Ini kerana katanya, rakyat Sabah tidak seharusnya menjadi mangsa percaturan politik yang mengganggu kestabilan hidup mereka.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan menyatakan bahawa perubahan politik yang dilakukan oleh sesetengah pemimpin lebih berlandaskan kepentingan peribadi berbanding kesungguhan menyelesaikan permasalahan rakyat sebagaimana teras perjuangan UMNO.
“Sudah tiba masanya kita semarakkan kembali perjuangan dan memberi peluang kepada parti yang telah nyata dan terbukti lebih berdaya saing dan memiliki idea segar untuk masa hadapan rakyat.
“Rakyat Sabah perlu bersatu dalam memastikan perubahan ini dengan UMNO menjadi platform perjuangan lantas permasalahan semasa dapat diatasi dan kehidupan mereka kembali stabil seperti negeri-negeri lain.
“Perjuangan ini mesti disepakati bersama seluruh rakyat Sabah lantas terjemahkannya sebagai pengundi pada pilihan raya kelak,” tegasnya.
Pada 23 Feb ini, program Sambutan Ulang Tahun UMNO Sabah ke-34 akan berlangsung di Dewan Tertutup Kompleks Sukan Tawau.
“Semua warga sekitar dijemput hadir bagi memeriahkan majlis ini. Selama lebih tiga dasawarsa UMNO Sabah mendepani pelbagai cabaran dalam perjalanan politiknya, maka marilah kita kekal berdiri teguh mengembalikan parti ini untuk mentadbir di Sabah,” ujarnya.
Sementara itu, dalam usaha membantu masyarakat, Jeffery Nor turut memenuhi jemputan guru-guru Tadika Perpaduan bagi meninjau keadaan struktur tadika yang uzur serta masalah bekalan air bersih yang kerap terputus.
“Syukur ada penderma yang bersedia menyumbangkan sebuah pam air untuk kegunaan tadika ini. Insya-Allah, saya akan berusaha membantu pembaikan tadika ini mengikut kemampuan yang ada,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada para penyumbang yang memberikan bahan binaan bagi membaiki jambatan Surau Tanjung Aru Baru serta rumah wakaf di Kampung Sembulan Lama.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada sahabat-sahabat yang menyumbangkan tiga buah kipas besar untuk tiga Tadika KEMAS melalui saya. Semoga sumbangan kecil ini dapat memberikan sedikit keselesaan kepada anak-anak untuk belajar dengan lebih selesa,” tambahnya lagi. – UMNO Online