Ulang Tahun Ke-34: UMNO Sabah Teguh, Khidmat Terbaik Untuk Rakyat – Noraini

KUALA LUMPUR, 21 Feb – UMNO Sabah tetap berdiri teguh untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat meskipun telah 34 tahun bertapak di ‘Negeri Bawah Bayu’ itu.

Ketua Wanita UMNO Sabah merangkap Senator Dewan Negara, Datuk Noraini Idris berkata, tempoh 34 tahun itu telah dilalui dengan pelbagai cabaran, dugaan, suka dan duka dalam perjuangan.

“Sepanjang tempoh 34 tahun bertapak di bumi Sabah, UMNO Sabah telah melalui pelbagai cabaran dan dugaan… suka dan duka dalam perjuangan.

“Hakikatnya, UMNO Sabah sehingga kini masih teguh berdiri dan tetap memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat Sabah meskipun diuji dengan pelbagai ujian,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, sokongan dan kesetiaan yang diberikan oleh akar umbi membuktikan kesedaran mereka terhadap jasa UMNO kepada rakyat Sabah terutamanya dalam pembangunan sosio ekonomi.

“Terima kasih kepada akar umbi yang tetap memberikan sokongan dan setia bersama UMNO dalam apa jua keadaan.

“Ini membuktikan bahawa UMNO telah banyak berjasa kepada rakyat Sabah terutamanya dalam pembangunan sosio ekonomi negeri.

“Di samping itu, UMNO Sabah turut memberikan kestabilan politik dan berfungsi sebagai jambatan ukhuwwah dalam membina hubungan baik antara Negeri Sabah dan Semenanjung,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengajak seluruh kepimpinan, akar umbi dan warga sekitar Tawau untuk bersama-sama meraikan Sambutan Ulang Tahun UMNO Sabah yang ke-34 pada Ahad ini.

“Pada Ahad, 23 Februari 2025 ini akan berlangsung program Sambutan Ulang Tahun UMNO Sabah yang ke-34 bertempat di Dewan Tertutup Kompleks Sukan Tawau.

“Dengan sukacitanya saya ingin menjemput seluruh kepimpinan, akar umbi dan warga sekitar Tawau untuk memeriahkan acara ini beramai-ramai. Jumpa di sana, Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit