Pembinaan Rumah Mampu Milik di Simpang Renggam Dipercepat – Exco Johor
SIMPANG RENGGAM, 21 Feb – Kerajaan Negeri Johor di bawah kepimpinan Menteri Besar, Dato’ Onn Hafiz Ghazi terus komited dalam usaha menyediakan Rumah Mampu Milik (RMM) di setiap daerah, parlimen, dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata usaha ini dilaksanakan secara berfasa dengan kerjasama pelbagai pihak bagi memastikan lebih ramai rakyat Johor memiliki kediaman sendiri.
Beliau berkata, hasil lawatannya ke Majlis Daerah Simpang Renggam sebelum ini serta selepas empat kali mempengerusikan mesyuarat berkaitan pembangunan perumahan di kawasan berkenaan, Kerajaan Negeri kini giat membangunkan Residensi Renggam, sebuah projek RMM yang dibangunkan oleh pemaju JLG.
“Bagi mempercepatkan pembinaan RMMJ Renggam, satu pasukan petugas khas (Taskforce RMMJ Renggam) telah ditubuhkan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ), Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR), Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Kluang, Pusat Khidmat ADUN Machap, serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Johor,” katanya.
Menurut beliau, pasukan petugas khas itu telah membentangkan modul dan cadangan pembinaan RMMJ Renggam dengan kerjasama GLC, selain berusaha secara maksimum menggunakan kaedah ‘fast track’ agar projek ini dapat disiapkan dengan lebih pantas.
“Langkah ini diambil bagi memastikan rakyat Johor, khususnya di Simpang Renggam, mendapat akses kepada kediaman yang selesa dan mampu milik secepat mungkin,” tambahnya.
Kerajaan Negeri Johor bertekad untuk meneruskan agenda pembinaan perumahan mampu milik di seluruh negeri bagi memenuhi keperluan rakyat, selaras dengan matlamat pembangunan mampan negeri. – UMNO Online