Malaysia Manfaat Peranan ASEAN Perkasa Pembangunan Luar Bandar – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 21 Feb – Malaysia akan memanfaatkan peranan ASEAN dalam memperkasa pembangunan luar bandar melalui perancangan serantau yang lebih kukuh dan bersepadu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini akan memberi tumpuan kepada aspek seperti digitalisasi, peningkatan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pemerkasaan wanita luar bandar dalam memastikan manfaat ekonomi dinikmati seluruh lapisan masyarakat termasuk mereka yang tinggal di desa dan kawasan terpencil.
“Kita mahu persidangan ASEAN pada tahun ini benar-benar membawa manfaat bukan sekadar mengadakan mesyuarat dan mengumumkan deklarasi.
“ASEAN perlu memastikan pembangunan luar bandar tidak terpinggir dalam arus kemajuan teknologi. Sinergi serantau harus diperhebat melalui digitalisasi, hab inovasi dan penggalakan teknousahawan supaya sektor luar bandar dapat terus berkembang,” katanya dalam program wawancara eksklusif “ASEAN: Dari Kuala Lumpur ke Dunia” terbitan Bernama TV malam tadi.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut mencadangkan penubuhan ASEAN Villages Network (AVN) sebagai platform strategik bagi merapatkan hubungan antara kampung di rantau itu dengan sektor swasta dan kerajaan.
Beliau berkata tiga elemen utama dalam inisiatif itu adalah Pelancongan Kampung, Perkampungan Digital dan konsep Satu Kampung Satu Produk (OVOP).
Menurut Ahmad Zahid, Malaysia boleh memanfaatkan platform AVN untuk mempromosikan produk luar bandar ke seluruh ASEAN sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi bagi masyarakat desa.
“Insya-Allah saya yakin dengan langkah-langkah ini, kita dapat menjadikan ASEAN sebagai market gateway yang berkesan bagi produk desa kita,” katanya.
Beliau berkata Malaysia juga bercadang memperkenalkan beberapa program lain antaranya inkubator perniagaan ASEAN, program pertukaran kepakaran dan teknologi tenaga boleh diperbaharui sebagai langkah memperkasa keusahawanan luar bandar di peringkat serantau.
“Saya percaya, ini adalah langkah untuk pastikan ASEAN 2025 memberi kesan langsung kepada rakyat, khususnya masyarakat desa,” katanya.
Ahmad Zahid berkata ASEAN perlu melihat potensi ekonomi luar bandar sebagai pemacu baharu pertumbuhan serantau dengan menyalurkan lebih banyak dana kepada syarikat baharu teknologi luar bandar dan memperkukuh pembangunan modal insan melalui TVET dalam bidang agroteknologi, Kecerdasan Buatan (AI) serta ekonomi digital.
Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia turut melihat Kepengerusian ASEAN sebagai peluang strategik untuk memperkukuh kerjasama dalam sektor halal serta memanfaatkan pasaran global yang dianggarkan bernilai US$3 trilion.
Beliau berkata ASEAN, dengan lebih daripada 240 juta penduduk Muslim merupakan pasaran halal yang amat besar dan berpotensi tinggi.
“Melalui Diplomasi Halal, kita mengukuhkan hubungan perdagangan dengan negara seperti China, Rusia, India dan Filipina.
“Tambahan pula, sektor halal dijangka menyumbang 8.1 peratus kepada KDNK (Keluaran Dalam Negeri Kasar) Malaysia tahun ini,” katanya.
Beliau yakin langkah itu akan menjadikan ASEAN 2025 lebih daripada sekadar mesyuarat dan deklarasi, sebaliknya membawa impak nyata kepada rakyat khususnya masyarakat luar bandar.
Malaysia secara rasmi memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1 Jan 2025 menandakan kali kelima menggalas tanggungjawab itu selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015. – BERNAMA