Jualan Ehsan Rahmah Bukti Kerajaan Prihatin Kebajikan Rakyat

KUALA LUMPUR, 21 Feb – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz menyifatkan Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) memperlihat komitmen kerajaan negeri Selangor yang prihatin dengan ekonomi rakyat.

Beliau berkata ini kerana penganjuran JER membantu rakyat yang berpendapatan sederhana dalam meringankan beban kewangan mereka.

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari atas pengumuman penambahan peruntukan bagi Program JER.

“Saya kekal berpendirian Program JER merupakan contoh yang sangat baik tentang bagaimana kerajaan negeri Selangor prihatin terhadap kebajikan rakyat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook yang berkongsi perbahasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor semalam.

Johan yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dalam pada itu memaklumkan Program JER yang diadakan di Dusun Tua mendapat sambutan mengalakkan daripada penduduk tempatan.

“Sepanjang pelaksanaan Program ini di Dusun Tua, ianya telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat.

“Sambutan yang diterima juga sangat luar biasa menunjukkan betapa pentingnya inisiatif ini dalam meringankan beban rakyat terutamanya di kawasan luar bandar,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit