Jangan Normalisasikan Lelaki Berpakaian Wanita – MUU
KUALA LUMPUR, 21 Feb – Majlis Ulama UMNO (MUU) menasihati rakyat Malaysia agar tidak menormalisasikan perlakuan lelaki berpakaian wanita sebagaimana berlaku dalam sebuah program hiburan pada 16 Februari 2025 yang lalu.
Timbalan Pengerusinya Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata peristiwa tersebut harus menjadi pengajaran apatah lagi di saat umat Islam menyambut kemuliaan Nisfu Sya’ban selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan.
“Islam mengharuskan umatnya berhibur dengan ada batasannya. Lelaki berpakaian wanita jelas ditegur oleh Rasulullah (saw) sebagaimana Hadis riwayat Ibnu Abbas radiyallahu anhuma:
Maksudnya: “Rasulullah (saw) melaknat orang-orang lelaki yang menyerupai wanita-wanita dan orang-orang perempuan yang menyerupai lelaki-lelaki” (Hadis riwayat Bukhari),” katanya.
Kata beliau lagi MUU mengalu-alukan tindakan segera oleh pihak berkuasa agama seperti JAKIM dan sebagainya lagi agar peristiwa seumpama itu tidak lagi berulang.
“Kita alu-alukan apa jua tindakan termasuklah untuk menasihati pihak terbabit dan pihak penguatkuasa agama dan juga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk mengambil tindakan menurut lunas undang-undang agar menjadi teladan bagi umat Islam dan masyarakat Malaysia yang terdidik dengan adab ketimuran,” ujarnya.- UMNO Online