Dr Akmal Gesa Kerajaan Perhalusi Akta Pembaharuan Semula Bandar
KUALA LUMPUR, 21 Feb – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa kerajaan untuk memperhalusi Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang bakal dibentangkan pada Julai ini.
Menerusi hantaran video yang dimuatnaik di laman Facebooknya, beliau memaklumkan bahawa akta tersebut akan menurunkan had ambang persetujuan pemilik tanah dari 100 ke 80 peratus.
“Beberapa hari ini hebat diperbincangkan mengenai Akta PSB. Untuk pengetahuan semua, akta ini memang dah ada dari dulu lagi yang menetapkan bahawa sekiranya sesuatu tempat itu nak dibangunkan, mesti dapat persetujuan 100 peratus daripada pemilik tanah.
“Pada kali ini, akta ini nak dibawa ke Parlimen dengan menurunkan had ambang persetujuan pemilik tanah daripada 100 peratus ke 80 peratus. Menteri bertanggungjawab juga ada kata bahawa akta ini tidak akan meminggirkan atau mengancam golongan tertentu.
“…terutamanya dari aspek perbezaan kaum ataupun tahap pendapatan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau meminta jaminan menteri bertanggungjawab untuk menyediakan rumah mampu milik kepada pemilik tanah yang bakal diambil bagi pembangunan semula.
“Pada zaman Barisan Nasional (BN), kita dah bangunkan Kuala Lumpur sehingga cantik pada hari ini, tetapi memakai akta yang mewajibkan persetujuan 100 peratus daripada pemilik tanah. Kalau dulu boleh buat, kenapa sekarang tidak boleh?
“Saya setuju bahawa bandar perlu dibangunkan semula. Tetapi, kalaulah nak dibangunkan kawasan-kawasan dalam Kuala Lumpur sebagai contoh kawasan pangsapuri di Wangsa Maju, harganya adalah bawah RM200,000.
“Bolehkah menteri yang bertanggungjawab memberikan jaminan sekiranya kawasan pangsapuri tersebut diambil untuk pembangunan, perlu juga dibangunkan perumahan yang mempunyai nilai sama?” katanya lagi.
Tegasnya, masih ramai lagi golongan miskin bandar di Kuala Lumpur dan beliau mencadangkan agar mereka diberikan rumah mampu milik setara dengan harga.
“Sebelum ini pun kita (BN) pernah buat. Sebagai contoh, dulu kita bangunkan One Razak Mansion dan alhamdulilah dibangunkan juga rumah mampu milik agar pemilik asal tanah tersebut boleh membeli aset.
“Mereka yang duduk di bandar ini masih ramai yang dikategorikan sebagai miskin bandar. Ada yang bergaji RM1,700 sehingga RM2,000. Inilah tempat untuk mereka sekurang-kurangnya dapat membeli aset dalam bandar, yang dekat dengan tempat kerja.
“Kalau kita bangunkan satu kondominium yang berharga ‘mampu tengok’ sahaja, bagaimana kita nak batu golongan miskin bandar ini memiliki aset? Sebenarnya ini tugas menteri bertanggungjawab untuk memikirkan bagaimana golongan-golongan ini dapat kita bantu,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau berharap agar usul tersebut diteliti sebelum dipersetujui di peringkat Parlimen.
“Saya mohon agar ahli-ahli parlimen tolong tengok, perhatikan dan perhalusi isu ini sebaiknya. Pada saya, tidak perlu diturunkan ambang persetujuan. Kedua, mesti ada jaminan bahawa pemilik asal tanah mendapat hak mereka.
“Kita perlu memastikan golongan-golongan miskin bandar ini mempunyai tempat untuk terus menetap di situ. Jadi, saya mohon agar ahli-ahli parlimen untuk melihat perkara ini sebelum usul tersebut dipersetujui,” katanya lagi. – UMNO Online