Ahmad Zahid Ucap Selamat Ulang Tahun UMNO Sabah Ke-34, Terus Perkukuh Perjuangan

KUALA LUMPUR, 21 Feb – UMNO Sabah hari ini meraikan ulang tahunnya yang ke-34, menandakan lebih tiga dekad perjuangan dalam membela nasib rakyat di negeri itu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dalam hantaran menerusi laman Facebooknya, menegaskan bahawa UMNO Sabah tetap teguh menghadapi pelbagai cabaran politik dan terus menjadi benteng perjuangan rakyat.

“Perjuangan ini bukan sekadar nukilan sejarah, tetapi warisan pengorbanan dan keringat. Kita jatuh, kita bangkit. Kita diuji, kita teguh berdiri. Liku dan pilu bukan penghalang, tetapi bara yang membakar semangat kita untuk terus melakar kejayaan yang lebih bermakna,” katanya.

Menurut beliau, UMNO Sabah kini berdepan dengan misi besar untuk mengembalikan keyakinan rakyat dan menyeru semua ahli parti untuk terus memperkukuh saf serta mempererat perpaduan.

“Percayalah, sinar harapan itu ada, menanti kita untuk menggapainya. Teruskan istiqamah, teruskan berjuang dengan hati yang tulus. UMNO Sabah tidak akan luntur selagi semangatnya berkobar dalam jiwa,” tambahnya.

Beliau turut mendoakan agar perjuangan parti terus diberkati dan menutup ucapannya dengan laungan semangat, “Radu tetap radu, radu sampai rata! Hidup UMNO Sabah!”

UMNO Sabah bakal mengadakan sambutan ulang tahunnya yang ke-34 dalam satu majlis keraian di Dewan Tertutup Kompleks Sukan Tawau pada Ahad ini. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit