‘Yang Baik Kita Puji, Yang Betul Kita Pertahan, Yang Salah Kita Bantah’ – Syauqi Ibnihajar

KUALA LUMPUR, 20 Feb – Pemuda UMNO menegaskan pendirian untuk terus menyokong perkara yang betul serta membantah sebarang kesalahan dalam pentadbiran negara.

Exconya, Mohd Syauqi Ibnihajar Ahmad berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai rakan kongsi utama dalam Kerajaan Perpaduan dan akan terus memainkan peranan yang konstruktif dalam memastikan dasar kerajaan selari dengan kepentingan rakyat.

Dalam hal ini beliau menjelaskan isu berkaitan waktu pulang awal bagi sesi persekolahan semasa Ramadan dan menyatakan tentang garis panduan.

“Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek cuma berseloroh tentang ‘kenapa harus pulang awal bagi sesi petang persekolahan semasa bulan Ramadan’ dan beliau memang maklum tentang pekeliling sedia ada (sejak tahun 2022) bahawa sesi petang sekolah di Semenanjung tamat lebih awal (jam 5:30 petang) dan di Malaysia Timur (Sabah dan Sarawak) pada jam 5:00 petang.

“Apa yang sangat menarik adalah mantan Menteri Pendidikan (Ahli Parlimen Putrajaya) yang terlalu cepat memberi komen tanpa mendengar hingga habis kenyataan Fadhlina.

“Mungkin dia terlupa tentang garis panduan waktu persekolahan di bulan puasa zaman beliau, yang masih berkuatkuasa dan tidak diubah sejak dua tahun lalu hingga kini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Pengerusi Biro Profesional Muda Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berkata rakyat harus meneliti sebarang fakta sebelum memberi komen dan ini adalah sedikit iktibar dalam percaturan dan permainan politik.

“Dengar hingga habis sesuatu kenyataan, teliti dan semak fakta sebelum memberi komen atau membuat bantahan. Tindakan serta kenyataan kita banyak mempengaruhi persepsi rakyat.

“Luahkan komen, bangkangan atau rasa tidak puas hati berasaskan fakta, kemudian beri cadangan membina.

“Yang pentingnya, Pemuda UMNO bukanlah merupakan ‘instigator’ kepada ketidakstabilan parti-parti gabungan di dalam kerajaan Perpaduan,” katanya lagi.

Terdahulu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan bahawa kenyataan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengenai waktu persekolahan semasa bulan Ramadan telah diputar belit oleh sesetengah pihak.– UMNO Online



Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit