Usahawan Wanita Perlu Lebih Berani Ambil Risiko, Yakin Dengan Potensi Diri – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 20 Feb – Usahawan wanita di Malaysia diseru untuk lebih berani mengambil risiko, yakin dengan potensi diri dan terus maju tanpa takut akan kegagalan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata dalam era digital yang pesat berkembang, bidang keusahawanan menuntut inovasi, daya saing tinggi dan kecekapan dalam mengoptimumkan teknologi seperti e-dagang, pemasaran digital dan media sosial, bagi memastikan perniagaan kekal relevan dan berkembang.

“Saya ingin melihat lebih ramai usahawan wanita tampil ke hadapan, berani mencuba dan memanfaatkan peluang yang ada. Ingatlah, setiap langkah kecil adalah permulaan kepada sesuatu yang lebih besar.

“Wanita adalah ejen perubahan dalam dunia yang memerlukan lebih banyak ikhtiar, inovasi dan kerjasama. Setiap wanita yang berjaya ialah bukti bahawa dengan sokongan, keyakinan dan usaha, tiada yang mustahil untuk dicapai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Voices of Her 2025 dan Malam Anugerah Ibu Zain 2025 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia di sini, malam tadi.

Pada majlis itu Ahmad Zahid turut menyampaikan Anugerah Ibu Zain yang memberikan penghormatan kepada wanita luar biasa yang telah memberikan sumbangan besar dalam pelbagai bidang meliputi pendidikan, keusahawanan, kesihatan, perundangan, sukan dan kesukarelawanan.

Antara penerima anugerah tersebut adalah legenda skuasy wanita negara Datuk Nicol Ann David yang menerima Anugerah Voices of H.E.R atas pencapaiannya dalam bidang sukan serta pengaruhnya di peringkat global.

Penerima lain termasuk aktres Noor Neelofa Mohd Noor yang menerima Anugerah Wanita Inspirasi dan atlet terjun kebangsaan Datuk Pandalela Rinong Pamg (Anugerah Wanita Kesukanan).

Terdahulu Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad di dalam ucapannya berkata keusahawanan wanita bukan sahaja tentang mencari pendapatan, sebaliknya memperkasakan wanita untuk menjadi ejen perubahan dalam masyarakat.

Beliau berkata dengan sokongan yang betul, usahawan wanita boleh mencapai potensi penuh dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

“Saya yakin dengan usaha berterusan dan sokongan padu daripada semua pihak, kita akan dapat melihat lebih ramai usahawan wanita yang berjaya di Malaysia dan di peringkat global. Saya ingin menyeru semua pihak agar terus menyokong dan memperkasakan peranan wanita dalam ekonomi,” katanya. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit