UMNO/BN Beaufort Terima Suntikan Semangat Menjelang PRN-17
BEAUFORT, 20 Feb – Seluruh jentera UMNO/Barisan Nasional (BN) di Beaufort menerima suntikan semangat dalam usaha memperkukuh persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) yang kian menghampiri.
Ini direalitikan dengan adanya majlis taklimat dan perjumpaan bersama Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yang menjadi medan untuk mengukuhkan kesatuan dan memperkasakan gerak kerja jentera di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias dan DUN Kuala Penyu, di sini.
Sehubungan itu, Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat, merakamkan penghargaan atas kesudian Dr. Zambry hadir dan memberikan dorongan kepada jentera parti bagi memastikan kemenangan BN di peringkat negeri.
Ujarnya, ucapan Dr. Zambry yang menekankan kepentingan kesatuan dalam parti bagi memperkukuh kekuatan menghadapi cabaran politik amat penting dimanfaatkan diakar umbi.
“Kita harus menghormati perbezaan, memfokuskan perjuangan bersama, serta bersikap toleransi bagi menghakis sebarang konflik dalaman.
“Kesatuan yang kukuh akan memudahkan kita mengatasi pelbagai rintangan dan bergerak sebagai satu pasukan yang kuat menuju kemenangan,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau turut mengingatkan bahawa perpaduan dalam parti bukan sahaja menguatkan jentera, malah menjadi inspirasi kepada rakyat untuk terus bersama BN.
“Dengan semangat kebersamaan ini, momentum sokongan terhadap parti dijangka meningkat menjelang PRN-17, insya-Allah,” katanya.
Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Setiausaha Kerja BN, Datuk Mohd Sahfri Abdul Aziz; Ketua UMNO Bahagian Sipitang, Abd Rahman Mohd Noh; Ketua Puteri UMNO Sabah, Umie Nabila Jamal; serta Timbalan Ketua Bahagian Kimanis, Rusman Dulamit yang mewakili ketuanya, Datuk Mohamad Alamin.
Hadirin lain termasuk Ketua-Ketua Sayap UMNO Bahagian Beaufort, Ketua-Ketua Sayap Bahagian lain, Jawatankuasa Bahagian UMNO Beaufort, Ketua-Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM), Ketua-Ketua Cawangan, serta jentera gerakan pilihan raya Parlimen Beaufort.
“Dengan semangat yang semakin membara dan jentera yang semakin mantap, UMNO/BN Beaufort kini bersedia menggalas cabaran dan memastikan kemenangan dalam PRN-17.”
Dalam program berlainan, Awang Aslee turut meluangkan masa menghantar dan menyumbangkan kerusi roda kepada yang memerlukan dan masing-masing tidak lagi mampu untuk meneruskan aktiviti harian tanpa bantuan.
Sumbangan tersebut telah disampaikan kepada empat penerima, iaitu Aminah Maidin, Mustapa, dan Asnah Maidin dari Kampung Darat, Menumbok, serta Zaliha Ibrahim dari Kampung Tenambak, Kuala Penyu.
“Dengan bantuan ini, penerima yang menghadapi kesukaran bergerak diharapkan dapat menjalani kehidupan dengan lebih selesa dan kembali melakukan aktiviti harian mereka dengan lebih mudah,” katany lagi. – UMNO Online