Ulang Tahun UMNO Sabah Ke-34 Bukti Autonomi Parti Terus Subur – Jamal Nerubi

PAPAR, 20 Feb – Ulang tahun UMNO di Sabah yang ke-34 membuktikan komitmen parti terhadap prinsip autonomi yang terus subur, sekaligus memperkukuh kedudukan UMNO Sabah dalam landskap politik negeri.

Demikian tegas Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Jamal Nerubi, berikutan Majlis Sambutan Ulang Tahun UMNO Sabah yang ke-34 tahun pada 23 Feb ini dengan Daerah Tawau akan menjadi lokasinya.

Ujarnya, sebagaimana autonomi yang diberikan kepada parti berkenaan di Sabah maka mengadakan Perhimpunan Agung sendiri di negeri itu amat sesuai apatah lagi menjelangnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Langkah ini akan memberi peluang kepada kepimpinan dan akar umbi UMNO Sabah untuk lebih bebas dalam menentukan hala tuju politik negeri dan menolak dakwaan dan persepsi yang mengatakan UMNO ini parti luar,” katanya.

Katanya, UMNO Sabah sebelum ini diberikan kuasa autonomi untuk membuat keputusan sendiri tanpa bergantung sepenuhnya kepada kepimpinan pusat, maka sambutan ini adalah satu langkah kepada memperkukuh kedudukan demi perjuangan di sini.

“Dengan adanya Perhimpunan Agung UMNO Sabah sendiri, isu-isu tempatan dapat dibincangkan dengan lebih berfokus dan penyelesaian lebih berkesan dapat dicapai demi kepentingan rakyat Sabah.

“Langkah ini juga akan menghimpunkan pemimpin dan ahli UMNO di seluruh negeri serta mencerminkan keunikan politik Sabah dalam kerangka parti secara keseluruhan,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai dari pelbagai lapisan masyarakat untuk sama-sama memeriahkan sambutan ulang tahun UMNO Sabah ke-34 dengan tekad dan semangat perjuangan yang terus bersemarak.

“Ini parti kita, ini rumah kita. Ayuhlah sama-sama semarakkan perjuangan dan perkukuh perpaduan demi kesinambungan kesejahteraan dan kestabilan masa depan anak bangsa.” – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit