Jajaran LPT 3 Dibentang, Pelebaran Lebuhraya KL-Karak (KLK) Dapat Kelulusan – Ahmad Maslan
KUALA LUMPUR, 20 Feb – Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata cadangan jajaran Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) sepanjang 122 km dari Kampung Gemuruh, Terengganu hingga Tunjong, Kelantan telah dibentangkan untuk tindakan selanjutnya.
Menurut beliau ianya dibentangkan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan Dan Penyelarasan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ICC ECER) Negeri Terengganu pada 3 Oktober 2024 dan Negeri Kelantan pada 14 Oktober 2024.
“Hanya setelah mendapat komitmen dan persetujuan bertulis daripada Kerajaan Negeri Terengganu dan Kelantan, pihak UKAS, JPM akan menyelaras perancangan dan hala tuju projek LPT3 bersama lain-lain kementerian dan agensi khususnya berkenaan model kewangan dengan mengambil kira parameter yang bersesuaian dengan penilaian daya maju projek.
“Selanjutnya akan diangkat kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan keputusan Kerajaan. Setakat ini Kelantan telah bersetuju secara bertulis namun Kerajaan Terengganu belum lagi,” katanya pada sesi penggulungan Kementerian Kerja Raya, di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu Ahmad Maslan turut memaklumkan berkaitan keadaan jalan lama KL – Karak yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Gombak dan Bentong.
“Berdasarkan pertanyaan laluan tersebut adalah FT 68 Jalan Kuala Lumpur – Bentong sepanjang 35 km yang disenggara oleh syarikat konsesi penyenggaraan Jalan Persekutuan. JKR Pahang telah mengenal pasti keperluan pembaikan berjumlah RM15.9 Juta bagi laluan FT68 yang merangkumi 10 bilangan kerja berkala pavemen berjumlah RM 14.5 juta dan 5 bilangan kerja berkala bukan pavemen berjumlah RM 1.4 juta bagi laluan tersebut.
“Kelulusan kerja tertakluk kepada senarai keutamaan yang disediakan oleh Jabatan Kerja Raya Malaysia berdasarkan penilaian tahap kritikal kerosakan jalan. Manakala bagi Projek pelebaran Lebuhraya KL-Karak (KLK) pula, ianya telah mendapat kelulusan Kerajaan dan kerja-kerja awalan, baru bermula di tapak.
“Skop pelebaran dengan penambahan satu (1) lorong setiap hala dari KM19.2 (Plaza Tol Gombak) hingga ke KM64.5 di Persimpangan Lingkaran Tengah Utama (LTU), Bentong dengan panjang keseluruhan 45.30 KM dijangka dapat disiapkan dalam tempoh empat (4) tahun iaitu pada tahun 2029.”
Ujarnya lagi, pelaksanaan projek ini bakal memberi manfaat kepada pengguna lebuh raya terutamanya dalam mengatasi isu kesesakan trafik serta menambahbaik ciri-ciri keselamatan termasuk pemasangan lampu jalan tambahan dari Genting Sempah ke Bentong. – UMNO Online