Dr Zambry Tegaskan Kerajaan Sentiasa Peka Terhadap Golongan OKU Untuk Lanjut Pengajian

KUALA LUMPUR, 20 Feb – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata kerajaan prihatin dan komited bagi memastikan semua golongan termasuk pelajar-pelajar daripada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) sentiasa mendapat akses dan kemudahan bagi melanjutkan pelajaran mereka di peringkat universiti termasuk juga di peringkat politeknik dan kolej komuniti.

Menurut beliau di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), terdapat dua program bantuan kewangan dalam memastikan supaya mereka dapat melanjutkan pelajaran masing-masing.

“Yang pertama, Program Bantuan Kewangan OKU (BKOKU) yang merangkumi pembiayaan yuran pengajian dan Elaun Wang Saku (EWS) kepada pelajar dengan maksimum RM6,200 setahun.

“Keduanya, untuk Program Pendidikan Khas (PPK) yang mensasarkan pelajar OKU bagi kategori ketidakupayaan pendengaran (DD/DE) untuk mereka mengikuti kursus secara sepenuh masa di peringkat Sijil Kemahiran Khas di Politeknik dan Kolej Komuniti yang terlibat,” katanya pada sesi pertanyaan lisan, di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail meminta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan sebarang inisiatif sudah dirangka atau dalam perancangan demi memastikan pelajar OKU di IPTA atau mereka yang mempunyai ibu bapa OKU diberi keutamaan dalam pengagihan biasiswa penuh pengajian tinggi oleh JPA, MARA, BNM, Petronas, Khazanah Malaysia dan sebagainya.

Dr Zambry seterusnya menambah secara keseluruhannya, KPT akan terus komited dalam menyediakan akses yang lebih luas kepada golongan OKU ini di peringkat pendidikan tinggi mereka.

“Jadi dalam kita memastikan lebih ramai graduan OKU dapat dilahirkan, pihak KPT juga bekerjasama dengan badan-badan ikhtisas yang lain termasuk antaranya dengan MARA, dengan GLC, GLIC dan lain-lain lagi termasuk juga dengan pihak JPA bagi memastikan supaya golongan OKU ini diberikan akses yang saksama bagi memastikan supaya mereka mendapat pendidikan yang sebaik-baiknya di peringkat tertinggi,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit