Ahmad Zahid Ziarah Mantan ADUN Kemasik, Doa Diberi Kesembuhan

KUALA LUMPUR, 20 Feb – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berbesar hati menziarahi mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Datuk Abu Bakar Ali yang kini sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) KPJ Damansara akibat serangan jantung dan strok.

Ahmad Zahid memaklumkan Abu Bakar masih dalam pemantauan rapi oleh pasukan perubatan.

“Dari Parlimen, saya terus ke KPJ Damansara bagi menziarahi sahabat saya, Datuk Abu Bakar Ali, mantan ADUN Kemasik yang kini sedang menerima rawatan di ICU akibat serangan jantung dan strok,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Sementara itu Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan WilAyah itu menyifatkan Abu Bakar sebagai pemimpin yang banyak berjasa kepada rakyat sepanjang perkhidmatannya sebagai wakil rakyat.

Beliau turut mengharapkan Abu Bakar untuk diberikan kesembuhan di samping mengurniakan kekuatan kepada keluarganya dalam menghadapi ujian ini.

“Datuk Abu Bakar Ali atau lebih mesra dikenali sebagai Datuk Kor telah berkhidmat sebagai ADUN Kemasik selama lima penggal sejak 1986 dan merupakan seorang pemimpin yang banyak berjasa kepada rakyat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Dalam pada itu menerusi hantaran terdahulu Ahmad Zahid berkongsi menerima kunjungan 40 orang delegasi daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bagan Datuk di Parlimen hari ini.

Delegasi yang yang diketuai oleh Kasmiyati Katiman, Pegawai Pendidikan Daerah Bagan Datuk ini turut berpeluang menyaksikan sesi Dewan Rakyat secara langsung ketika Ahmad Zahid menjawab soalan ketika Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri sebentar tadi.

“Semasa berucap, saya telah berkongsi mengenai usaha Kerajaan MADANI dalam pembangunan Bagan Datuk, khususnya aspek pendidikan dan infrastruktur yang menjadi keutamaan di kawasan ini.

“Mereka berada di Kuala Lumpur selama dua hari bagi mengikuti program lawatan BAKEP (Badan Kebajikan Pegawai dan Kakitangan PPD Bagan Datuk), dengan Parlimen sebagai destinasi pertama,” ujar beliau.

Ahmad Zahid berharap agar lawatan ini memberikan pengalaman berharga dan bermanfaat kepada semua peserta serta mendoakan perjalanan pulang mereka ke Bagan Datuk. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit