UMNO/BN Komited Rampas Semula Kerusi Labuan Dan Putrajaya
KUALA LUMPUR, 19 Feb – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan, menyatakan komitmen penuh untuk UMNO dan Barisan Nasional (BN) merampas kembali kerusi-kerusi yang dimenangi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), khususnya di Putrajaya dan Labuan.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan, menegaskan bahawa jentera BN Labuan telah mula digerakkan seawal selepas kekalahan pada PRU15 dan yakin bahawa sentimen rakyat kini kembali memihak kepada UMNO dan BN.
“UMNO Labuan sudah memulakan gerak kerja sejak PRU15 berakhir. Dengan kepercayaan yang semakin pulih terhadap UMNO dan BN, kami akan terus memperkukuhkan usaha untuk merampas semula kerusi P166 Labuan,” katanya.
Terdahulu, Mohd Rafi menghadiri Majlis Penyerahan Perlantikan Watikah Pengerusi Penyelaras BN Wilayah Persekutuan yang disempurnakan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Ghani, di sini, semalam.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengerusi MCA Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Wee Jack Sing, dan Pengerusi MIC Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Symon.
Dalam masa yang sama, Mohd Rafi turut menyeru seluruh jentera parti agar terus bekerja keras bagi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya akan datang.
Katanya, keyakinan rakyat terhadap UMNO dan BN adalah satu petanda positif yang harus diterjemahkan ke dalam kemenangan di peti undi.
“Kesepaduan dalam parti komponen BN diaktifkan bagi mengembalikan kemenangan kepada BN di kawasan-kawasan strategik,” katanya lagi. – UMNO Online