Ulang Tahun UMNO Sabah Ke-34: Inilah Masanya Tekadkan Muafakat – Musliati
KUALA LUMPUR, 19 Feb – Tinggal beberapa hari sahaja lagi UMNO Sabah akan menyambut ulang tahun ke-34 perjuangan parti berkenaan di negeri di bawah bayu membela nasib rakyat serta membangunkan negeri terbabit bersama rakan-rakan parti yang lain.
Perjuangan sejak sekian lama adalah untuk kepentingan negeri serta rakyat semata-mata dan pada kali ini sempena ulang tahun ke-34 pelbagai cabaran yang diharungi terutama selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada 2018.
Bagi Ketua UMNO Kota Kinabalu, Musliati Moslimin melihat perjuangan parti berkenaan sejak sekian lama telah melalui pelbagai cabaran yang diharungi oleh pimpinan terdahulu dan kemudiannya hari ini generasi seterusnya memikul tanggungjawab.
“Tinggal beberapa hari sahaja lagi UMNO Sabah akan menyambut ulang tahunnya ke-34. Jadi inilah masanya untuk semua pihak termasuklah pimpinan pelbagai peringkat dan ahli di segenap pelusuk Sabah untuk sama-sama beriltizam meneruskan kayuhan perjuangan parti kita ini.
“Perjuangan kita untuk apa… langkah kita semua ke arah mana dan semestinya untuk mencapai kejayaan sekaligus membantu rakyat dan membela nasib mereka yang memerlukan selaras dengan cogan kata kita ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.
Kata beliau, apatah lagi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah nanti tentunya sambutan ulang tahun UMNO Sabah akan melonjakkan semangat perjuangan ahli parti untuk bergerak ke depan.
“Inilah masanya untuk kita sama-sama bertekad menjulang kejayaan parti nanti. Yakinkan rakyat apakah hala tuju dan nawaitu kita di Sabah. Kita mahu membela dan meneruskan perjuangan sekian lama kita untuk rakyat Sabah.
“Dan inilah juga masanya untuk kita bertaut dalam satu saf dan dalam satu tekad muafakat untuk sama-sama bergerak menempuh apa jua cabaran yang mendatang demi kejayaan parti nanti, insya-Allah,” tambahnya.- UMNO Online