Serahan Bantuan, Jalaluddin Laksana Operasi Tangani Banjir Kilat Melanda Jelebu
KUALA LUMPUR, 19 Feb – Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias memaklumkan pihaknya akan terus memantau gerak kerja bantuan dan operasi menyelaras ekoran banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Jelebu.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan dalam pada itu memohon kerjasama daripada penduduk setempat untuk segera berhubung dengan pihaknya sekiranya memerlukan bantuan.
“Masa ke masa saya pantau gerak kerja serahan bantuan dan operasi menyelaras mangsa banjir kilat.
“Saya dapatkan update semasa dari team pejabat saya, jentera parti politik dan pihak jabatan.
“Jika ada update dari rakan-rakan media sosial boleh letak di ruangan komen juga,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Terdahulu Jalaluddin pada semalam menerusi hantaran berbeza turut sama berkongsi beberapa gambar di kawasan Bandar Tinggi yang dilanda banjir.
Sehingga pagi tadi sebuah pusat pemindahan sementara dibuka di Dewan D’Sury, Jelebu pada 3 pagi bagi menempatkan 51 mangsa daripada 11 keluarga terjejas akibat banjir kilat.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Jelebu Lt (PA) Mohd Najib Abdul Karim berkata mereka terdiri daripada sembilan individu warga emas, 28 dewasa, 12 kanak-kanak serta dua bayi dari Ladang Jelebu, Taman Pekan Baru dan Taman Bandar Tinggi.
Beliau berkata operasi menyelamatkan mangsa banjir melibatkan 12 anggota Angkatan Pertahanan Awam, bomba (10), polis (tiga), Jabatan Kebajikan Masyarakat (lima) dan wakil Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (dua). – UMNO Online