‘Mak Cik Jangan Tumpang Tandas Rumah Orang Lagi, Luluh Hati Saya’ – Dr Akmal

KUALA LUMPUR, 19 Feb – Prihatin dengan aduan yang dibawa rakyat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh terus turun padang bagi melihat sendiri penambahbaikan yang boleh dilakukan bagi menjamin keselesaan rakyat.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin pada semalam menyantuni rumah salah seorang warga emas bagi melihat tandas baharu yang telah siap dibina pihaknya.

Pembinaan tandas tersebut ekoran warga emas itu terpaksa menggunakan tandas jiran dalam meneruskan kehidupan.

“Jangan tumpang tandas rumah orang lagi, sedih saya (sebelum ini) dapat tahu mak cik tumpang tandas rumah orang,” katanya.

Warga emas tersebut juga meluahkan kesyukuran atas bantuan diberikan Dr Akmal yang membantunya menyiap tandas di bahagian dalam rumah seperti dikehendakinya bagi memudahkan pergerakkan.

Sementara itu menerusi hantaran berbeza, Dr Akmal yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan turut sama turun padang ke DUN Pengkalan Batu bersama wakil rakyatnya, Datuk Kalsom Noordin bagi meninjau ke beberapa rumah untuk dibantu.

Menerusi perkongsian tersebut beliau ke rumah salah seorang warga emas yang berhadapan dengan masalah bumbung dan pintu yang diserang anai-anai.

Dr Akmal seterusnya memaklumkan pihaknya akan melakukan kawalan serangga perosak selain membaiki kerosakan di beberapa bahagian rumah yang dijangka akan disiapkan sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Kita merayau dalam DUN Pengkalan Batu minggu ini dengan YB Kak Som mencari aduan.

“Insya-Allah sebelum raya nnt rumah mak cik kita betulkan ya,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit