KKDW: Setiap Inisiatif Dilaksanakan Adalah Untuk Kesejahteraan Rakyat – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 19 Feb – Setiap inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah dengan tujuan untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan memperkukuh kemajuan negara secara menyeluruh.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan komited dalam memperkasa institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) agar masa depan anak-anak muda lebih terjamin.
“Berdasarkan Dasar TVET Negara 2030, kerajaan komited dalam memperkasa institusi TVET dengan pemantapan kurikulum berasaskan keperluan industri; peningkatan kemahiran tenaga pengajar dan pemodenan alat bantu mengajar serta penglibatan industri secara langsung dalam pelaksanaan latihan.
“Kini, sebanyak 1,398 institusi TVET beroperasi dengan 423,267 peserta TVET berdaftar pada 2024, meningkat daripada 407,000 peserta pada 2023. Kadar kebolehpasaran graduan TVET pula mencapai 94.5 peratus, membuktikan keperluan tenaga mahir terus meningkat.
“Institusi seperti GIATMARA, Kolej Vokasional, dan Institusi Latihan Kementerian Belia dan Sukan (ILKBS) menyediakan latihan kepada lebih 70,000 pelajar dalam pelbagai bidang seperti Teknologi Elektrik dan Elektronik, Mekanikal, Sistem Komputer, Pertanian, Hospitaliti, Fotografi, dan Terapi Sukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, sebentar tadi.
Beliau yang juga Presiden UMNO menjelaskan bahawa kurikulum TVET kini dijajarkan dengan Occupational/Industry Standard Practice (OISP) untuk memastikan graduan TVET kekal relevan.
“Untuk memastikan graduan TVET kekal relevan, kurikulum kini dijajarkan dengan OISP serta dipadankan dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan High Growth High Value (HGHV).
“Pemodenan dan Digitalisasi TVET turut diberi penekanan dengan peningkatan infrastruktur digital di pusat latihan; penggunaan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI), Internet Kebendaan (IoT), dan Realiti Terimbuh (AR) serta latihan profesional bagi tenaga pengajar untuk memastikan mereka selaras dengan perkembangan industri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa kerajaan sedang mempergiat penyelarasan antara agensi dalam pengurusan bencara untuk memastikan respons yang lebih pantas dan berkesan.
“Antara langkah utama yang diambil ialah PDRM menyediakan khemah koordinasi Pos Kawalan Tempat Kejadian bagi memastikan koordinasi yang lebih sistematik. Selain itu, penyediaan bot penyelamat kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri yang berperanan sebagai Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.
“Jambatan mudah alih (Bailey Bridge) juga disediakan bagi kelancaran logistik di kawasan terjejas di samping penggunaan sistem koordinasi dan pelaporan berasaskan geospatial dalam talian bagi pemantauan yang lebih tepat dan pantas,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa Bantuan Wang Ihsan (BWI) bernilai RM1,000 akan diberikan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang berpindah atau berdaftar di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“BWI bernilai RM1,000 akan diberikan kepada KIR yang berpindah atau berdaftar di PPS. Bagi mereka yang tidak dapat menginap di PPS akibat kapasiti penuh, pendaftaran tetap perlu dilakukan bagi memastikan mereka tidak tercicir dalam pemberian bantuan.
“Gerak kerja dan koordinasi akan terus diperhebatkan untuk memastikan setiap mangsa bencana menerima bantuan yang sewajarnya,” katanya lagi. – UMNO Online