Kerajaan Tidak Bercadang Lanjutkan Tempoh Masa Bekerja Pekerja Asing – Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 19 Feb – Kerajaan tidak bercadang untuk melanjutkan tempoh masa bekerja bagi pekerja asing di negara ini dengan sasaran mengurangkan kebergantungan serta penstrukturan semula pasaran buruh negara.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, pengambilan pekerja asing masih lagi dibekukan sejak 18 Mac 2023 kerana jumlahnya telah menghampiri had siling 15 peratus seperti ditetapkan.

“Pada masa ini, pengambilan pekerja asing masih lagi dibekukan sejak 18 Mac 2023. Pembekuan ini dikekalkan setelah mengambil kira jumlah pekerja asing dalam negara yang telah menghampiri had siling 15 peratus seperti ditetapkan oleh kerajaan.

“Dalam tempoh pembekuan ini, kerajaan telah melaksanakan penambahbaikan dalam proses pengurusan pekerja asing untuk memastikan kelangsungan operasi perniagaan majikan tidak terjejas. Salah satu inisiatif utama adalah mengurangkan tempoh kemasukan pekerja asing ke dalam negara dari 29 bulan kepada 15 bulan.

“Tempoh ini dikira dari masa proses kelulusan kuota sehingga pekerja masuk untuk bekerja. Langkah ini bertujuan untuk memastikan elemen kesegeraan dalam proses kemasukan pekerja asing dan mengurangkan potensi penjualan kuota serta risiko isu pengabaian pekerja asing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Abdul Rahman yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, kerajaan telah mengadakan rundingan bersama negara-negara sumber berkenaan kos pengambilan pekerja asing.

“Selain itu, kerajaan juga telah mengadakan perundingan bersama negara-negara sumber berkenaan kos pengambilan pekerja asing untuk memastikan wujudnya elemen ‘menang-menang’ kepada pihak-pihak berkepentingan.

“Namun begitu, perundingan ini tidak pernah mengabaikan malah mengutamakan amalan fair recruiment yang disarankan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa. Pada masa ini, Kerajaan telah pun memuktamadkan kos pengambilan pekerja dari negara Viet Nam, Kemboja dan Indonesia (Pembantu Rumah).

“Perundingan lanjut sedang diadakan dengan negara sumber lain seperti Bangladesh, India, Nepal dan Sri Lanka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa pekerja bukan pemastautin di Sarawak hanya dibenarkan bekerja selama enam tahun kecuali untuk ladang kelapa sawit berkeluasan 100 ekar (40.47 hektar) dan ke atas iaitu sepuluh tahun.

“Penetapan kos adalah satu komitmen bersama antara negara sumber dan negara penerima. Justeru, pemantauan kepada pihak-pihak terlibat dengan aktiviti perekrutan perlu diperkasakan, bukan sahaja di negara penerima, tetapi juga di negara sumber bagi memastikan kos pengambilan terkawal.

“Untuk penggajian pekerja bukan pemastautin di Sarawak, tempoh maksimum seorang pekerja bukan pemastautin dibenarkan bekerja ialah enam tahun kecuali bagi ladang kelapa sawit berkeluasan 100 ekar (40.47 hektar) dan ke atas iaitu sepuluh tahun.

“Majikan hendaklah memastikan supaya pekerja bukan pemastautin yang tamat tempoh perkhidmatan dihantar pulang ke negara asal dengan memohon Memo Periksa Keluar daripada Jabatan Imigresen Malaysia,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menegaskan bahawa aturan tersebut adalah tertakluk kepada polisi dan bidang kuasa Kerajaan Negeri mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

“Jika pekerja bukan pemastautin yang telah digaji oleh majikan masih berminat untuk bekerja dengan majikan yang sama, pekerja berkenaan boleh terus digaji oleh majikan selepas tempoh tiga bulan pekerja berkenaan kembali ke negara asal dan masuk semula ke Malaysia.

“Ini adalah tertakluk kepada polisi dan bidang kuasa Kerajaan Negeri mengikut prosedur yang ditetapkan. Kerajaan secara berterusan merangka dan melaksanakan pelbagai perancangan strategik bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dalam pasaran buruh negara.

“Buat masa ini, kerajaan tidak bercadang untuk memanjangkan tempoh jangka masa bekerja bagi pekerja asing di negara ini, dengan menyasarkan pengurangan kebergantungan pekerja asing menjadi strategi utama penstrukturan semula pasaran buruh negara dan meningkatkan tenaga kerja mahir dalam sektor berteknologi tinggi untuk memacu ekonomi berimpak tinggi,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit