Kerajaan Diseru Perkukuh Industri Getah, Bela Nasib Bekas Anggota KEMAS

KUALA LUMPUR, 19 Feb – Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan, menggesa kerajaan agar memperkukuh industri getah negara bagi mengembalikan Malaysia sebagai antara pengeluar getah asli utama dunia.

Beliau menegaskan bahawa Malaysia, yang pernah menjadi pengeluar getah asli terbesar pada tahun 1988 dengan pengeluaran 1.6 juta tan, kini hanya berada di kedudukan ketujuh dunia.

Jelasnya, statistik Jabatan Perangkaan Negara menunjukkan bahawa sektor pekebun kecil menyumbang sebanyak 89.4 peratus daripada jumlah pengeluaran getah asli pada Disember 2024.

“Kuala Pilah merasakan kerajaan perlu melipatgandakan usaha untuk kembali menjadi antara pengeluar getah asli utama, bukan sahaja untuk meningkatkan pendapatan negara tetapi juga bagi memastikan pekebun kecil mendapat peluang pendapatan yang lebih baik,” katanya di Dewan Rakyat semalam.

Beliau turut menyokong cadangan Timbalan Perdana Menteri, Daruk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu menjadikan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil (RISDA) sebagai pembeli tunggal getah daripada pekebun kecil. Langkah ini, menurutnya, akan membolehkan kerajaan mengawal harga pasaran dan membantu pekebun kecil menikmati pendapatan lebih stabil.

Dalam sidang yang sama, Adnan turut menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) yang telah memainkan peranan besar dalam memperkasakan masyarakat luar bandar melalui pendidikan awal kanak-kanak dan pelbagai program kemahiran.

Namun, beliau meluahkan kebimbangan mengenai nasib bekas anggota KEMAS yang tidak mendapat pencen selepas bersara.

“Kebanyakan mereka telah berkhidmat sejak awal penubuhan KEMAS dan banyak membantu kerajaan menjayakan agenda pembangunan negara. Namun, apabila bersara, mereka terpinggir dan tersisih,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan menaikkan bantuan sara hidup kepada bekas anggota KEMAS daripada RM300 kepada RM500 sebulan sebagai tanda penghargaan terhadap jasa mereka.

Katanya, sadangan ini diharap dapat membantu meringankan beban mereka dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit