Kerajaan Diminta Beri Perhatian, Ambil Tindakan Penggantian Paip Lama – Shamsulkahar
KUALA LUMPUR, 19 Feb – Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli berpandangan Kerajaan perlu memberi perhatian dan mengambil tindakan berhubung isu penggantian paip lama dan naik taraf sistem perparitan dan pembentungan, terutama di lokasi kritikal banjir kilat di tanah rancangan Felda.
Ini kerana katanya, kejadian itu sering berlaku mengakibatkan gangguan bekalan air di kawasan tersebut.
“Kejadian paip pecah yang adakalanya berlaku setiap hari, mengakibatkan gangguan bekalan air dan menimbulkan permasalahan kepada masyarakat serta melibatkan kos pembaikan yang tinggi. Begitu juga dengan pembentungan lama yang pecah dan runtuh mengakibatkan berlakunya banjir kilat.
“Permasalahan paip pecah terutamanya di 28 Skim Felda di Parlimen Jempol iaitu Gugusan Raja Alias, Gugusan Serting Hilir Kompleks dan Gugusan Felda Palong.
“Pihak Kerajaan menyediakan peruntukan khas untuk Felda, bagi tujuan tersebut,” katanya ketika menjunjung Titah Di Raja di Dewan Rakyat, malam tadi.
Mengulas lanjut Shamsulkahar berharap Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Koperasi Felda akan dapat memperkasakan semula koperasi dan menjadi tunjang utama ekonomi peneroka Felda.
“Pihak KUSKOP dan Felda perlu memperkasakan semula koperasi-koperasi ini agar kembali menjadi tunjang pembangunan dan pemerkasaan ekonomi para peneroka Felda.
“Kebanyakan koperasi-koperasi ini pernah melalui zaman kegemilangannya dengan memberi keuntungan kepada ahli anggota, malangnyanya pada ketika ini, status keaktifan koperasi-koperasi ini kebanyakannya sekadar ada, dan tidak kurang juga yang hambar dan bermasalah,” ujarnya.
Jelasnya, terdapat 317 Tanah Rancangan Felda di seluruh negara dan hampir semua tanah rancangan mempunyai koperasi sendiri yang telah menjangkau puluhan tahun sehingga ada yang 40 ke 60 tahun usianya.
Pada masa yang sama, Shamsulkahar memohon Kerajaan menetapkan cuti Hari Raya Aidiladha selama dua hari di seluruh negara dan maklumbalas daripada Jabatan Perdana Menteri berkenaan cadangan ini.
“Rasionalnya, tempoh cuti satu hari ini menyebabkan ramai yang tidak dapat meraikan Hari Raya Aidiladha di kampung halaman kerana faktor logistik sedangkan melaksanakan ibadah korban serta meraikan Hari Raya Aidiladha (10 Zulhijjah) dan Hari-hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijjah) adalah merupakan suatu ajaran agama Islam.
“Seksyen 3 Jadual Pertama Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369) memperuntukkan satu (1) hari cuti bagi Hari Raya Haji (Aidiladha) bagi seluruh negara manakala dua (2) hari bagi Negeri Kelantan dan Terengganu,” ujarnya. – UMNO Online