Kementerian Kerja Raya Masih Komited Untuk Laksana Sistem Kutipan Tol Secara MLFF – Ahmad Maslan
KUALA LUMPUR, 19 Feb – Pihak Kementerian Kerja Raya masih komited untuk melaksanakan kutipan tol menggunakan sistem aliran pantas pelbagai lorong atau Multi-Lane Fast Flow (MLFF).
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan bahawa perjanjian pelantikan antara pihak kerajaan dan syarikat pencadang untuk melaksanakan sistem tersebut telah terbatal kerana tidak berjaya membentuk persetujuan.
“Perjanjian pelantikan yang ditandatangani di antara pihak kerajaan dan syarikat pencadang, iaitu KJS-SEPJV untuk perlaksanaan sistem kutipan tol secara aliran pantas pelbagai lorong atau MLFF, telah berakhir pada 16 Disember 2024.
“Dalam tempoh perjanjian pelantikan tersebut, tiga pihak utama iaitu kerajaan, 33 syarikat konsesi lebuh raya sedia ada dan syarikat pencadang selepas tiga tahun tidak dapat mencapai persetujuan untuk memuktamadkan rundingan maka secara langsung perjanjian pelantikan tersebut telah terbatal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat sebentar tadi.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, pihak kementerian akan mendapatkan hala tuju baharu untuk pelaksanaan MLFF daripada jemaah menteri.
“Pihak Kementerian Kerja Raya masih komited untuk melaksanakan sistem kutipan tol secara MLFF dalam memastikan keselesaan dan kemudahan kepada pengguna lebuh raya.
“Justeru, pihak kementerian akan mendapatkan hala tuju baharu daripada jemaah menteri untuk kaedah pelaksanaan MLFF ini dalam masa terdekat. MLFF merupakan satu inisiatif kementerian untuk masa depan bagi sistem kutipan tol. Ini sejajar dengan pelan pelaksanaan sistem pengangkutan pintar negara iaitu Intelligent Transportation System (ITS).
“Melalui sistem kutipan tol MLFF, pengguna tidak lagi perlu memberhentikan atau memperlahankan kenderaan untuk membuat bayaran tol dan seterusnya melancarkan lagi aliran trafik di kawasan plaza tol.
“Pengguna akan melalui transaksi pengaliran tol yang cepat dan efisien. Ia dilaksana melalui penyediaan platform sistem pembayaran terbuka yang lebih berkesan dan anti-monopoli serta dapat memelihara alam sekitar dari pelepasan karbon yang berlebihan akibat kesesakan trafik di plaza tol,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa cadangan pelaksanaan MLFF di Malaysia akan menggunakan gabungan teknologi Radio Frequency Identification (RFID) dan Camera Automatic Plate Number Recognition (ANPR).
“Beberapa negara di dunia seperti Singapura, Amerika Syarikat, Australia, Taiwan, Perancis, UAE, Canada, Brazil, Austria, sudah beralih menggunakan kaedah MLFF. Di rantau Asia Tenggara, Thailand dan Indonesia juga telah mengorak langkah ke arah pelaksanaan sistem ini.
“Cadangan pelaksanaan MLFF di Malaysia akan menggunakan gabungan teknologi RFID dan ANPR yang berupaya mengesan kenderaan beserta maklumat pengguna untuk tujuan pembayaran tol yang lebih lancar.
“Reka bentuk lebuh raya baharu juga telah disesuaikan dengan teknologi yang telah bersedia untuk pelaksanaan sistem kutipan tol secara MLFF. Halangan utama bagi rundingan dan gagalnya perkara itu kerana persetujuan semua 33 syarikat konstitusi tidak dapat dicapai… hanya 20 yang setuju, 13 lagi tidak setuju,” katanya lagi. – UMNO Online