Syed Hussien Syukur Rumah Untuk Nenek Bainah Siap Dibina

KUALA LUMPUR, 18 Feb – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah meluahkan kesyukuran apabila perancangan rumah yang disediakan untuk seorang nenek bernama Mak Cik Bainah telah siap sepenuhnya.

Beliau berkata rumah bujang khas itu disediakan untuk didiami Mak Cik Bainah ekoran rumah sebelum ini telah runtuh akibat reput.

“Siapa ingat lagi dengan seorang nenek bernama Mak Cik Bainah yang saya dukung ketika banjir tahun lepas?

“Alhamdulillah berkat usaha kerajaan negeri melalui pejabat daerah Kluang, pejabat DUN Mahkota, ketua kampung dan lain-lain.

“Kami telah membina sebuah rumah bujang khas buat Nenek Bainah kerana dinding rumah kayu lama beliau telah runtuh akibat reput,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Syed Hussien yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi atas sumbangan yang diberi untuk pembinaan rumah tersebut.

Sementara itu menerusi hantaran berbeza beliau turut memaklumkan kunjungan diterimanya daripada Unit Seni Pasar Awam Kluang ke Pusat Khidmat ADUN Mahkota.

Katanya perjumpaan tersebut dimanfaatkan sebaiknya untuk perbincang serta idea yang dibawa oleh orang muda untuk mewajahkan semula Pasar Awam Kluang.

“Semoga apa yang dirancang dapat berjalan dengan lancar,” ujar beliau.

Dalam pada itu Syed Hussien turut sama hadir ke Mesyuarat UMNO Bahagian Kluang di Rumah UMNO Kluang bagi perancangan program yang akan dilaksanakan pada bulan Ramadan dan Syawal. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit