Lawatan Kerja: Malaysia-UAE Zahir Keterbukaan Tingkat Kerjasama Pertahanan – Mohamed Khaled
KUALA LUMPUR, 18 Feb – Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah menzahirkan keterbukaan untuk memperkukuhkan hubungan dan meningkatkan kerjasama pertahanan, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau telah memulakan rangka lawatan kerja ke UAE dengan mengadakan kunjungan hormat ke atas pemimpin republik tersebut.
“Memulakan lawatan kerja saya ke UAE dengan mengadakan kunjungan hormat ke atas Putera Mahkota Dubai, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan, HH Sheikh Hamdan bin Mohammed Rashid Al Maktoum. Pertemuan bersama beliau ini merupakan yang pertama sejak saya dilantik sebagai Menteri Pertahanan pada Disember 2023.
“Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua buah negara menzahirkan keterbukaan dalam memperkukuh hubungan sedia ada dan meningkatkan kerjasama pertahanan. Ini termasuklah dalam konteks pertukaran kepakaran dan pemindahan teknologi.
“Perbincangan turut berkisar tentang keperluan dialog berterusan, di samping memastikan wujudnya koordinasi antara negara dalam isu-isu serantau dan global yang mendesak. Malaysia dan UAE bersetuju akan keperluan memastikan kesatuan dalam usaha memelihara keselamatan serta keamanan sejagat,” katanya.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO telah menghadiri International Defence Exhibition & Conference (IDEX) dan Naval Defence & Maritime Security Exhibition (NAVDEX) 2025 di Abu Dhabi.
“Sebahagian pengisian lawatan kerja saya ke UAE adalah menghadiri IDEX dan Naval NAVDEX 2025 di Abu Dhabi. Semasa berlangsungnya IDEX dan NAVDEX 2025, saya berpeluang menyaksikan majlis penyerahan kontrak penyertaan Defence Services Asia Exhibition and Conference (DSA) 2026 oleh DSA kepada syarikat-syarikat pertahanan dari United Kingdom, ADS dan multinasional Eropah, MBDA.
“Keberadaan di UAE ini juga digunakan untuk mengalu-alukan penyertaan pemain-pemain industri dari pelbagai negara dalam pameran antarabangsa negara di bawah kendalian Kementerian Pertahanan Malaysia, iaitu LIMA 2025 dan DSA 2026,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut berpeluang untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden Secretariat of Defence Industries (SSB), Prof. Dr. Haluk Görgün.
“Semasa IDEX dan NAVDEX 2025, saya berpeluang mengadakan pertemuan dengan Prof. Dr. Haluk Görgün, Presiden SSB. SSB merupakan sebuah institusi yang diletakkan di bawah Pejabat Presiden Republik Türkiye yang berperanan menguruskan industri pertahanan negara itu selain daripada membekalkan teknologi ketenteraan.
“Pertemuan ini adalah susulan kepada lawatan rasmi dua hari Presiden Republik Türkiye, Recep Tayyip Erdoğan ke Malaysia minggu lalu.
“Minggu lalu, Kerajaan Malaysia dan Türkiye bertukar ‘Terms of Reference’ sebagai panduan ‘Joint Working Group’ memantau program perolehan produk pertahanan dan memacu kerjasama dalam bidang sains, teknologi dan industri pertahanan,” katanya lagi. – UMNO Online