Keputusan Kerajaan Tepat, Keharmonian Negara Perlu Dijaga – Mohd Isam
KUALA LUMPUR, 18 Feb – Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Jemaah Menteri yang telah melakukan tindakan tegas dengan menolak mentah-mentah cadangan mewujudkan portfolio Menteri Agama Hal Ehwal Bukan Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Menurutnya, keputusan itu adalah langkah tepat dalam memastikan keharmonian negara terus terpelihara selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Selaku ahli UMNO, saya dan rakan-rakan akan kekal berprinsip dan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan Perkara Tiga (3) kerana disebabkan itulah kita dapat hidup dalam keadaan aman dan harmoni selama ini.
“Pandangan peribadi atau pandangan pihak mana sekalipun, waima apa jua alasan dan hujahnya, janganlah jadi seperti kaduk naik junjung yang hanya sekadar mampu bermimpi di siang hari.
“Apa gunanya penggubalan Akta Antidiskriminasi Kaum, sekiranya kamu sendiri pun gagal untuk menghormati dan mengiktiraf Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan kedudukan Istimewa orang Melayu dan Islam sebagai agama Persekutuan,” beliau berkata demikian di Dewan Rakyat ketika perbahasan Titah Diraja, di sini hari ini.
Mengulas lanjut Mohd Isam yang juga Ketua UMNO Bahagian Tampin berkata cadangan tersebut telah menimbulkan keraguan dan ketidaksenangan dalam kalangan rakyat.
“Lebih menyebalkan, ada juga pihak-pihak yang menyambut dan mengiyakannya. Kononnya, atas dasar keharmonian dan perpaduan serta mahu mengelakkan ketegangan antara kaum.
“Adakah selama ini, masyarakat di Malaysia telah hidup dalam keadaan yang tidak harmoni? Perkara sebegini tidak pernah timbul sebelum ini… mengapa sekarang.
“Barangkali, mungkin ada yang terlupa bahawa tanah ini ada Raja-Raja Melayu dan ada Perlembagaan Persekutuan yang telah mengikatnya sejak sekian lama,” katanya lagi.
Seterus katanya lagi, sepanjang beberapa minggu kebelakangan ini, dapati hubungan dan perpaduan antara kaum seakan-akan kian merapuh.
Jelasnya, ada pihak-pihak yang mengkritik mengenai garis panduan untuk orang Islam yang kononnya bakal menimbulkan ketidakharmonian kaum.
“Di saat ada pihak-pihak yang mencadangkan dan menyokong agar diwujudkan Menteri Hal Ehwal Bukan Islam untuk mengukuhkan perpaduan kaum dan yang terbaharu untuk menggubal Akta Antidiskriminasi Kaum atas alasan menjamin keharmonian dan perpaduan kaum.
“Cuba lihat Kawasan Rukun Tetangga (KRT) umpamanya, penglibatan kaum untuk mengambil bahagian tidak seimbang di kebanyakan kawasan. Kaum Cina hanya mahu terlibat di kawasan kampung baru sahaja.
“Tabika Perpaduan, taburan murid di tabika berkenaan langsung tidak mencerminkan komposisi kaum di negara ini. Keterlibatan kaum Cina cukup rendah di sana, sistem pendidikan kita masa hari ini, kamu sahaja yang terus-menerus mempertahankan sekolah pelbagai aliran ini,”ujarnya.
Pada masa yang sama kata beliau lagi, berhubung garis panduan penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan perayaan dan upacara kematian orang selain Islam serta kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat selain Islam.
“Selaku orang Melayu yang beragama Islam dan wakil rakyat yang perlu menyantuni semua pihak yang terdiri daripada pelbagai latar kaum dan agama sememangnya ada keperluan besar. Jika tidak untuk diri saya, mungkin diperlukan oleh para pegawai untuk membuat susun atur dan sebagainya.
“Saya tidak bermaksud untuk memandang rendah tentang akidah umat Islam di negara ini, apatah lagi memperlekehkan pengetahuan dan kefahaman mereka dan menerusi garis panduan tersebut.
“Kefahaman umat Islam mengenai agama lain akan lebih jelas dan akan memperkukuhkan lagi hubungan antara kaum didalam negara ini,” jelasnya lagi. – UMNO Online