Karpet Merah AJL39: Puteri UMNO N. Sembilan Kutuk Sekerasnya Individu Berpakaian Songsang
SEREMBAN, 18 Feb – Pergerakan Puteri UMNO Negeri Sembilan mengutuk sekeras-kerasnya individu-individu yang bertindak berpakaian songsang ketika menghadiri Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) baru-baru ini.
Ketuanya, Hazratul Ilani Misdar dalam satu kenyataan berkata, perkara tersebut telah menimbulkan pelbagai soalan sensitif di kalangan netizen dan ia merupakan budaya yang melanggar nilai serta kesucian Islam.
“Baru-baru ini AJL39 telah tular di media sosial melibatkan perdebatan hebat berkaitan penampilan beberapa individu yang beraksi tidak senonoh di karpet merah acara tersebut.
“Para pelaku tersebut telah tular kerana hadir ke karpet merah AJL39 dengan berpakaian menyerupai wanita, sedangkan mereka adalah berjantina sebaliknya.
“Pelbagai persoalan sensitif telah berlegar dalam kalangan netizen terhadap tindakan mereka ini. Adakah ini suatu cubaan untuk menormalisasikan budaya songsang dan yang melanggar nilai budaya serta kesucian agama Islam di Malaysia?” katanya.
Menurutnya, perkara tersebut tidak wajar dijadikan sebagai bahan tontonan umum kerana ia merupakan satu konotasi negatif terhadap golongan remaja dan kanak-kanak.
“Kami di Pergerakan Puteri UMNO Negeri Sembilan amat tersentuh dengan tindakan ini dan menganggap ia tidak wajar dijadikan sebagai bahan tontonan umum, walaupun di sebuah acara hiburan.
“Apatah lagi AJL39 merupakan sebuah rancangan yang menjadi tontonan umum atau keluarga di seluruh Malaysia. Ia akan membentuk suatu konotasi yang negatif terhadap golongan kanak-kanak dan remaja di negara kita.
“Sebagai sebuah negara yang menjadikan agama Islam sebagai negara persekutuan, kami di Pergerakan Puteri UMNO Negeri Sembilan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan sesetengah individu tersebut,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut mendesak pihak penganjur untuk lebih berhati-hati dalam menganjurkan acara sedemikian dan menegaskan bahawa Puteri UMNO Negeri Sembilan tidak akan setuju apatah lagi merelakan budaya tersebut dinormalisasikan.
“Kami juga mengecam tindakan pihak penganjur yang dilihat tidak cakna terhadap tatacara pemakaian dalam acara berkenaan.
“Kami di Pergerakan Puteri UMNO Negeri Sembilan mendesak kepada pihak penganjur untuk lebih berhati-hati selepas ini dalam menganjurkan acara sebegini rupa.
“Sekali lagi, Pergerakan Puteri UMNO Negeri Sembilan tidak akan setuju dan tidak akan merelakan apa juga proses normalisasi budaya songsang dan tindakan yang bercanggah dengan nilai budaya dan kesucian agama Islam di negara kita ini,” katanya lagi. – UMNO Online