Siapa Memalukan: Dr Tajuddin Atau Dr Akmal?

KUALA LUMPUR, 17 Feb – Tidak salah seorang professor bidang seni bina seperti Dr Tajuddin Mohd Rasdi menjadi penganalisis politik tetapi biarlah analitikal dan bebas, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi.

Katanya, jika dibuat perbandingan antara Tajuddin dengan penganalisis politik lain seperti Dr Awang Azman Awang Pawi, Dr Azmi Hassan dan juga Dr Sivamurugan Pandian, memang jauh macam langit dengan bumi.

“Seorang ahli akademik tidak patut melabelkan orang lain jika mahu membuat analisis akademik. Kenapa gelaran Datuk kepada Dr Muhamad Akmal Saleh juga mahu dipertikaikan.

“Tajuddin menghina rakyat yang memilih Dr Akmal dan juga TYT Melaka, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam yang menganugerahkan gelaran Datuk itu. Bukan Akmal yang menjatuhkan imej politik Melayu, sebaliknya Dr Tajuddin menjatuhkan maruah ahli akademik.

“Tajuddin tidak patut memihak yang menjatuhkan maruah politik Melayu ialah, apabila bercakap dia bohong, bila berjanji dia tidak tunaikan dan bila diberi amanah dia tidak mampu laksanakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa yang sama Puad turut menasihati Tajuddin agar jangan membuat analisis yang cetek.

“Jangan tutup mata sebelah. Jangan buat analisis cetek dan elakkan diri daripada dituduh pencacai politik,” ujarnya.

Terdahulu dalam satu kenyataan yang disiar dalam sebuah portal, Tajuddin menuduh Dr Akmal yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Malaysia telah menjatuhkan politik Melayu ke tahap paling rendah. –UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit