Kerajaan Perlu Tegas Kekang Fitnah, Hasutan Di Media Sosial – Puzi
KUALA LUMPUR, 17 Feb – Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali berpandangan fitnah dan hasutan terutamanya di media sosial diumpamakan seperti budaya yang semakin galak dilakukan menyebabkan ia sukar dibendung dan semakin membarah dalam komuniti.
Katanya, fitnah telah menyumbang kepada pelbagai impak negatif antaranya imej dan maruah individu yang turut memberi kesan kepada keluarga tercalar sehingga menjadi bahan kritikan dan sindiran.
“Selain itu, ia juga mengakibatkan perpecahan, permusuhan dan perbalahan yang menghakis sifat saling menghormati dan nilai persaudaraan. Perpaduan rakyat juga terkesan teruk terutamanya apabila melibatkan aspek bangsa dan agama.
“Pekan mengharapkan agar kerajaan lebih tegas dalam menguatkuasakan undang-undang untuk mengekang perkara ini, seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1988, Akta Hasutan 1948 dan lain-lain akta yang bersesuaian.
“Kita ingin melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai perpaduan yang kukuh, berkesefahaman, dan harmoni walaupun berbilang bangsa dan agama. Justeru, isu fitnah dan hasutan yang mampu memecah-belahkan rakyat wajar ditangani dengan sebaiknya oleh kerajaan,” katanya demikian pada sesi Dewan Rakyat hari ini.
Beliau dalam pada itu turut sama menyentuh berkenaan kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM2026) yang diperuntukkan kerajaan hampir RM550 juta dalam mempergiatkan promosi dan aktiviti pelancongan, menyasarkan ketibaan 35.6 juta pelawat antarabangsa dengan nilai RM147.1 bilion.
Menurut Sh Mohmed Puzi lagi, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 mempunyai potensi dan kelebihan dalam memperkukuh peranan sebagai hab pelancongan utama di Asia Tenggara.
“Kerjasama dan promosi bersama rakan strategik ASEAN dapat menonjolkan Malaysia sebagai sebuah hab pelancongan khususnya dalam sektor pelancongan bertemakan warisan, ekopelancongan, kesihatan dan mesra muslim.
“Peningkatan pelancong menerusi kempen ini juga akan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dalam sektor pelancongan,” ujar beliau. – UMNO Online