Ahmad Zahid Terima Kunjungan Asian Development Bank, Meneroka Potensi Kerjasama Strategik

KUALA LUMPUR, 17 Feb – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berbesar hati menerima kunjungan hormat daripada delegasi Asian Development Bank (ADB) hari ini di Parlimen, di sini.

Menerusi satu perkongsian di laman sosial, menurut Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, sesi tersebut turut disertai oleh wakil kementerian dan agensi berkaitan, dengan mengadakan perbincangan yang konstruktif mengenai potensi kerjasama strategik yang boleh diperkukuhkan.

“Perbincangan tertumpu kepada tiga aspek utama, iaitu Kepengerusian ASEAN, peranan sektor swasta dan pembangunan pengetahuan.

“Selain itu, saya turut menekankan komitmen Malaysia dalam memperkasakan bidang TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional), memperluas jaringan pengangkutan serantau, serta memperkukuhkan integrasi ekonomi dengan negara jiran,” kata Pengerusi Majlis TVET Negara itu lagi.

Jelas Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, turut dikongsi pandangan dan analisis mengenai perkembangan ekonomi global serta langkah-langkah strategik yang perlu diambil bagi menghadapi ketidakpastian ekonomi semasa.

“Insya-Allah, saya optimis bahawa perbincangan ini akan membuka ruang kerjasama yang lebih erat dan memberikan manfaat besar kepada kedua-dua pihak,” katanya.

Usai pertemuan bersama delegasi ADB, Ahmad Zahid meneruskan agenda hari ini dengan menghadiri dan mendengar perbahasan di Dewan Rakyat.

“Saya mendoakan semoga segala urusan kita hari ini dipermudahkan-Nya. Insya-Allah,” ujarnya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit