Usaha Memartabatkan Institusi Huffaz: Ke Arah Membina Generasi Al-Quran

KUALA LUMPUR, 14 Feb – Institusi huffaz memainkan peranan penting dalam pembinaan generasi al-Quran dan ia bukan sekadar tempat menghafal al-Quran, tetapi pusat pembentukan generasi rabbani yang memahami, menghayati, dan mengamalkan ajaran suci ini dalam kehidupan seharian.

Berhubung perkara tersebut, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi beriltizam untuk memastikan institusi huffaz terus dimartabatkan agar lebih ramai huffaz lahir bukan sahaja mahir dalam hafazan, tetapi juga memiliki keupayaan intelektual dan kemahiran yang boleh menyumbang kepada pembangunan negara.

“Alhamdulillah, perkembangan institusi tahfiz di Malaysia amat membanggakan. Kini, terdapat 18 Maahad Tahfiz Negeri dan 1,058 Maahad Tahfiz Swasta yang beroperasi di seluruh negara.

“Jumlah pelajar tahfiz kini mencapai 55,000 orang, dengan hampir 8,000 tenaga pengajar yang berdedikasi. Ini membuktikan bahawa minat masyarakat terhadap pendidikan tahfiz semakin tinggi, mencerminkan kesedaran yang semakin berkembang terhadap kepentingan pembinaan generasi al-Quran,” kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dalam satu catatan di laman Facebook dan akaun X.

Jelas Presiden UMNO itu lagi, bagi memastikan institusi huffaz terus berkembang secara sistematik dan kekal relevan dengan keperluan semasa, kerajaan telah merangka beberapa inisiatif utama.

“Contohnya, Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN 2.0) yang sedang dibangunkan, insya-Allah, akan memastikan pendidikan tahfiz lebih tersusun dan berkualiti.

“Penambahbaikan kurikulum, penyelarasan akreditasi, serta peningkatan infrastruktur dan sumber kewangan menjadi keutamaan dalam memastikan institusi tahfiz melahirkan graduan yang holistik dan berdaya saing,” katanya.

Tambah Ahmad Zahid lagi, dalam usaha memperkukuh pengiktirafan terhadap penghafaz al-Quran, kerajaan telah memperkenalkan Sijil Tahfiz Malaysia 2.0 (STM 2.0) yang bukan sahaja menilai hafazan 30 juzuk, tetapi juga menguji pemahaman serta ilmu Islam lain yang berkaitan.

“Sijil Perakuan Hafazan Bertahap (SPHB) turut diperkenalkan sebagai pengiktirafan rasmi kepada huffaz berdasarkan tahap hafazan yang dicapai. Peperiksaan ini dijalankan dua kali setahun dan dianugerahkan oleh Darul Quran JAKIM.

 

“Selain pendidikan agama, generasi huffaz juga perlu didedahkan kepada kemahiran teknikal dan vokasional yang relevan dengan keperluan industri.

“Sebagai Pengerusi Majlis TVET Negara, kami telah memperkenalkan inisiatif TVET-Tahfiz sebagai satu ‘game-changer’ dalam sistem pendidikan negara. Program ini membuka ruang kepada para huffaz untuk menceburi bidang teknikal dan vokasional tanpa mengorbankan keunggulan mereka sebagai penghafaz al-Quran,” ujarnya.

Manakala di peringkat awal, usaha menanam kecintaan terhadap al-Quran perlu bermula sejak usia kanak-kanak, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi.

“Melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), kita telah memperkenalkan Pra-Tahfiz Tabika KEMAS bagi memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak tentang hafazan al-Quran.

“Program ini bukan sahaja membina asas kukuh dalam pendidikan tahfiz, tetapi juga menanam nilai-nilai Islam yang akan membentuk jati diri mereka sejak kecil.

“Malah, ia mampu menjadi asas kepada sasaran kita adalah untuk melahirkan 125,000 huffaz profesional menjelang tahun 2050. Ini bukan sekadar angka, tetapi satu visi besar untuk mengangkat martabat Malaysia sebagai pusat rujukan pendidikan al-Quran bertaraf dunia,” katanya.

Begitu juga ujarnya, sebagai simbol kesungguhan dalam memartabatkan huffaz, Himpunan 25K Huffaz akan dianjurkan sekali lagi tahun ini sebagai manifestasi kepada usaha kolektif dalam mengangkat martabat institusi tahfiz dan meraikan para huffaz yang menjadi penyuluh kepada masyarakat.

“Justeru, saya menyeru ibu bapa, komuniti, sektor swasta, dan seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama menyokong usaha pemartabatan institusi huffaz.

“Bersama, kita dapat memastikan institusi ini terus berkembang dan kekal relevan dalam melahirkan generasi al-Quran yang cemerlang, berilmu, dan berdaya saing.

“Bersama, kita membina generasi al-Quran,” serunya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit