Shahaniza Gesa Ahli Parlimen Raub Bersikap Lebih Rasional
MARAN, 14 Feb – Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin menggesa agar Ahli Parlimen Raub untuk bersifat lebih rasional dalam isu cadangan mewujudkan menteri khas bagi masyarakat bukan Islam.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menyifatkan cadangan Ahli Parlimen tersebut sebagai suatu kenyataan yang dangkal dan tidak berasas.
“Merujuk kepada kenyataan rasmi Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Naib Presiden UMNO Malaysia bertarikh 14 Februari, saya sesungguhnya mengecam dan mengkritik kenyataan Ahli Parlimen Raub di dalam sidang Dewan Rakyat semalam berhubung saranan mewujudkan satu kementerian khusus berkaitan masyarakat bukan Islam di negara ini.
“Saya menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen tersebut sebagai dangkal dan tidak berasas, membayangkan seolah-olah beliau sangat daif untuk memahami perkara-perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan kita sama-sama dukung di negara ini.
“Kenyataan beliau tersebut antara lain boleh mengundang kemarahan dan kebencian umat Islam dalam negara ini. Justeru, tidak mustahil boleh mengundang perpecahan di kalangan masyarakat,” katanya menerusi satu kenyataan.
Tegasnya, Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa Islam adalah agama persekutuan untuk negara ini.
“Saya ingin menegaskan bahawa Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa agama Islam adalah agama bagi persekutuan negara ini. Atas Fasal ini, kita sama-sama menjaga keharmonian dan kesejahteraan masyarakat di negara ini… sekian lama dengan konsep hormat-menghormati antara satu sama lain.
“Hak dan kebajikan setiap rakyat sentiasa dipelihara secara adil dan saksama bawah Perlembagaan Persekutuan, membawa kepada kemakmuran dan keamanan dalam negara ini sehingga kini.
“Suara rakyat sentiasa didengar di Parlimen menerusi wakil-wakil rakyat yang dipilih menerusi sistem pilihan raya, kemudiannya disuarakan di peringkat kabinet kerajaan yang dianggotai oleh menteri-menteri dari pelbagai agama dan bangsa. Justeru, boleh menyangkal sebarang dakwaan atau kebimbangan terhadap diskriminasi kaum dan agama dalam negara ini sehingga membawa kepada cadangan yang sama sekali tidak relevan tersebut,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut beranggapan bahawa Menteri Perpaduan telah diberikan amanah untuk menjaga keharmonian masyarakat pelbagai kaum.
“Kerajaan turut mewujudkan Kementerian Perpaduan untuk menjaga keharmonian masyarakat pelbagai kaum di negara ini sekaligus menafikan sebarang dakwaan atau pemikiran kolot menyatakan wujudnya ketidakadilan dan penindasan untuk mana-mana masyarakat di negara ini.
“Justeru adalah dengan ini saya menggesa Ahli Parlimen tersebut untuk bersifat lebih rasional dengan daya pemikiran lebih efektif untuk menghormati setiap satu dari hak dan kebajikan rakyat yang sentiasa terlindung dan terpelihara di bawah Perlembagaan Persekutuan… khususnya yang melibatkan hak dan kebajikan masyarakat Melayu-Islam dalam negara ini, demi mengekalkan kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan negara,” katanya lagi. – UMNO Online