RUU Perkhidmatan Parlimen: Lambang Iltizam Kerajaan Perpaduan Laksana Reformasi

KUALA LUMPUR, 14 Feb – Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen menjadi lambang kepada iltizam politik Kerajaan Perpaduan dalam melaksanakan reformasi, kata Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia memaklumkan bahawa RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 itu dijangka akan dibentangkan pada sesi parlimen kali ini.

“Saya telah menghadiri sesi taklimat berkaitan cadangan penggulan Rang Undang Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 yang dijangka akan dibentangkan dalam sesi kali ini.

“Taklimat tersebut melibatkan Ahli-Ahli Parlimen blok kerajaan bagi sesi yang pertama dan akan diteruskan pula dengan blok pembangkang pada sesi berikutnya,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook dan akaun X.

Jelasnya, RUU tersebut diwujudkan dengan tujuan untuk mengembalikan kebebasan perkhidmatan Parlimen bagi memastikan institusi tersebut beroperasi secara bebas.

“RUU ini bertujuan untuk mengembalikan kebebasan perkhidmatan Parlimen bagi memastikan institusi ini beroperasi secara bebas, profesional dan berautonomi, sejajar dengan prinsip pemisahan kuasa antara badan perundangan, eksekutif serta kehakiman.

“Usaha ini melambangkan iltizam politik Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menunaikan janji reformasi dengan memberikan autonomi dan kebebasan kepada institusi Parlimen dalam memastikan tadbir urus negara yang lebih demokratik dipertingkatkan,” katanya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit