Bergeraklah Sebagai Satu Pasukan Kuat, Pastikan Kemenangan Parti – Sharif Musa

KUALA LUMPUR, 14 Feb – Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul menyeru seluruh jentera dan para pemimpin untuk bergerak sebagai satu pasukan yang kuat bagi memastikan kemenangan parti pada pilihan raya akan datang.

Mengambil pengajaran daripada peristiwa Perang Uhud, beliau beranggapan bahawa segala tindakan terutamanya melibatkan masa depan parti mestilah mengikut keputusan majoriti.

“Sedangkan lidah lagi tergigit. Jika kita bertindak tidak mengikut keputusan majoriti, maka tunggulah saat kehancuran.

“Sejarah Perang Uhud, Rasulullah SAW mengadakan musyawarah dengan sahabat mengenai sama ada tentera Islam kekal berada dalam Madinah atau keluar menghadapi musuh di luar Madinah. Akhirnya pandangan majoriti diambil dengan tentera Islam berdepan musuh di luar kota Madinah pada Perang Uhud.

“Meskipun Rasulullah SAW adalah utusan daripada Allah Ta’ala dan Ketua Negara Islam Madinah, Baginda tetap mengadakan perbincangan dengan sahabat-sahabat dalam mengambil keputusan melibatkan kepentingan awam serta negara,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya, beliau telah mengadakan perjumpaan bersama akar umbi di pusat-pusat daerah mengundi (PDM) UMNO Bahagian Lahad Datu dengan harapan mereka tidak gentar berhadapan musuh.

“Saya telah menjelaskan lima perkara kepada akar umbi di perjumpaan PDM-PDM UMNO Bahagian Lahad Datu. Bergeraklah sebagai satu pasukan yang kuat, memastikan kemenangan besar. Jangan teragak-agak lagi ketika kita bergerak berhadapan dengan musuh. Junjunglah amanah dan tanggungjawab sebagai komandan kepada jentera serta puluhan ribu ahli UMNO.

“Bergeraklah dengan penuh keyakinan bahawa kita berada di landasan yang benar dengan idealisme dan semangat setia kawan serta kekeluargaan. Dengan penuh rasa tawaduk, UMNO mempunyai ‘track record’ cemerlang membangun Sabah. Yakinlah, kita di atas jalan perjuangan yang dirahmati lagi diredhai.

“Bertindaklah dengan pantas, selesaikan cabaran yang akan dihadapi secara syura’ dan kekeluargaan. Keistimewaan Nabi dengan mukjizat. Keistimewaan umat dengan muafakat,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar para jentera dan pemimpin memanfaatkan sebaiknya media sosial dalam menghadapi peperangan di alam siber pada musim pilihan raya.

“Bertempur dan bertarunglah di alam siber dan dunia digital sebagai pejuang siber. Perang sebenar pada pilihan raya kali ini adalah peperangan di alam siber dan digital. Setiap pengundi hari ini mempunyai alat siber dan digital. Jangan mengharap kepada kelompok-kelompok tertentu sahaja.

“Bertarunglah dengan semangat juang dan tekad yang tinggi bahawa UMNO-Barisan Nasional (BN) telah berbuat sehabis baik. Kerana UMNOlah pelaksana wasiat pusaka, harapan sejati kesejahteraan negara bangsa,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit