Sumbangan ‘Tak Banyak Alasan’ Ringankan Beban Penduduk Putrajaya
PUTRAJAYA, 13 Feb – Team Penerangan UMNO Bahagian Putrajaya bersama Biro Kebajikan UMNO Bahagian Putrajaya telah meneruskan gerak kerja turun padang menerusi program sumbangan ‘Tak Banyak Alasan’ bagi membantu penduduk setempat.
Ketua Penerangan UMNO Putrajaya, Tengku Muhammed Hafiz Tengku Adnan, berkata inisiatif ini bertujuan untuk meringankan beban golongan yang memerlukan dengan memberikan bantuan berbentuk barangan keperluan asas dan sokongan kebajikan.
Menurutnya, program ini mencerminkan komitmen UMNO Bahagian Putrajaya dalam membantu masyarakat setempat tanpa banyak alasan, waima ahli Parlimennya bukan dari kalangan UMNO/Barisan Nasional (BN).
“Ini selari dengan semangat prihatin dan cakna terhadap kebajikan rakyat. Tidak perlu banyak alasan untuk turun padang kerana keutamaan kepada rakyat telah sebati dengan perjuangan UMNO.
“Kami ingin memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan. Insya-Allah, UMNO Bahagian Putrajaya akan terus komited dalam memperjuangkan kebajikan masyarakat melalui pelbagai inisiatif seperti ini,” katanya.
Terdahulu, saluran sumbangan telah digerakkan di Jalan P9G, Presint 9, Putrajaya, semalam dengan agihan dibuat terus ke pintu rumah penerima.
Ujar Tengku Muhammed Hafiz yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, gerak kerja dan agihan sumbangan ini adalah usaha berterusan UMNO Bahagian Putrajaya untuk membantu lebih ramai yang memerlukan dan mendapat sokongan daripada Ketua Bahagiannya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
“Alhamdulillah, program sumbangan ini mendapat sokongan dari pelbagai pihak dan ahli-ahli UMNO setempat juga sentiasa komited dalam menjayakan inisiatif kebajikan demi kesejahteraan masyarakat di Putrajaya.”
Selari dengan itu, beliau meminta anggota parti akar umbi khususnya jentera penerangan UMNO untuk terus memainkan peranan meneruskan gerak kerja dan memperkukuh perjuangan dalam segenap agenda.
“Penerangan UMNO di semua peringkat termasuklah Cawangan di akar umbi memainkan peranan yang penting untuk politik masa depan,” katanya lagi. – UMNO Online