Peka Dengan Perubahan Cuaca, Hindari Risiko Kesihatan Akibat Cuaca Panas Dan Kering – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 13 Feb – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengingatkan rakyat Malaysia agar lebih berhati-hati dalam menghadapi cuaca panas dan kering yang sedang melanda negara.

Beliau yang juga Presiden UMNO menjelaskan bahawa negara kini berada di fasa penghujung Monsun Timur Laut, yang dijangka berakhir pada pertengahan Mac 2025.

“Dalam tempoh ini, hujan semakin berkurang di banyak tempat terutamanya di utara Semenanjung, menyebabkan cuaca lebih panas dan kering. Suhu harian boleh mencecah lebih 35°C, khususnya pada waktu tengah hari.

“Justeru, saya ingin menyeru semua untuk lebih berhati-hati dalam menghadapi cuaca panas ini. Kurangkan aktiviti luar yang boleh mendedahkan diri kepada suhu tinggi, banyakkan minum air untuk kekal hidrasi dan gunakan air secara berhemat bagi mengelakkan pembaziran,” katanya dalam hantaran melalui laman Facebooknya.

Selain itu, beliau turut menekankan agar tiada pembakaran terbuka dilakukan kerana ia boleh mencetuskan jerebu dan meningkatkan risiko kebakaran hutan.

“Saya doakan agar kita semua dilindungi daripada sebarang kesan buruk akibat cuaca panas ini. Sama-sama kita ambil langkah berjaga-jaga dan terus peka dengan perkembangan cuaca terkini,” ujar beliau lagi.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan bahawa cuaca panas dan kering dijangka melanda kebanyakan tempat terutamanya di kawasan utara Semenanjung termasuk Perak serta Pahang dan Kelantan bermula bulan ini. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit