Malaysia Bukan Sekadar Negara Islam Tetapi Jadi Contoh Kepada Negara Luar – Othman Desa

 

KUALA LUMPUR, 13 Feb – Ahli Majlis Tertinggi Ulama UMNO, Datuk Othman Desa menegaskan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara Islam yang menjadi contoh kepada dunia, termasuk diiktiraf oleh Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.

Menurutnya, negara ini telah membangunkan pelbagai institusi berasaskan Islam, termasuk dalam sektor kewangan dan pentadbiran, yang menjadi rujukan kepada negara lain.

“Malaysia adalah sebuah negara Islam dan malah menjadi sebuah negara contoh. Baru-baru ini Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan juga menyatakan bahawa Malaysia ini adalah sebuah negara Islam. Banyak contoh yang boleh diikuti seperti memajukan negara, mendirikan institusi kewangan Islam dan sebagainya.

“Perancangan untuk negara ini bukannya sekelip mata tetapi telah dirancang, dibuat susulan, diperkemaskan maka yang memperkemaskan negara ini adalah UMNO.

“Sebenarnya yang melaksanakan Islam berkembang di negara ini adalah dari UMNO. Semenjak merdeka hingga kini. Ahli UMNO perlu perjelaskan bahawa Islam di negara ini tidak terancam dan tidak ada masalah,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Mengulas lanjut Othman yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menjelaskan tidak  timbul masalah bahawa negara ini bukannya negara Islam kerana pelaksanaan Islam telah lama dibuat sejak zaman kesultanan Melayu Melaka sehingga sekarang.

“Siapa yang melaksanakan Islam? Siapa yang membuat pembangunan Islam ini? Sudah pasti UMNO/BN. Tapi kenapa dipersoalkan? Ini adalah kerana ada yang mencari kepentingan politik atau mahu mengelirukan rakyat.

“Ini sengaja dibangkitkan oleh pembangkang yang mengatakan negara ini ada masalah, sebenarnya isu ini hanya isu kecil tetapi dimainkan untuk kepentingan politik mereka. UMNO telah melaksanakan banyak agenda dan akan buat bermacam-macam lagi untuk Islam.

“Apabila dikelirukan isu ini maka rakyat akan keliru dan akan menolak UMNO. Tapi sekarang rakyat sudah sedar bahawa ini bukannya masalah UMNO tetapi fitnah yang dilontarkan oleh pembangkang maka yang rugi adalah rakyat,” katanya lagi.

Tambah beliau, Majlis Ulama akan menyelaraskan pelbagai aktiviti melibatkan perancangan dan penilaian cadangan serta laporan dari setiap negeri mengenai aktiviti agama yang dijalankan oleh biro hal ehwal agama negeri.

“Kita akan menyelaraskan, merancang serta memperhalusi cadangan dan laporan dari negeri-negeri mengenai aktiviti-aktiviti agama yang diadakan oleh biro hal ehwal agama negeri-negeri.

“Program-program yang dilaksanakan turut disertai dengan negeri-negeri selain tokoh-tokoh dari Majlis Ulama UMNO. Itu adalah program yang disusun pada bulanan dan tahunan,” jelasnya.

Dengan langkah ini, beliau berharap usaha dakwah dan pendidikan agama dapat diperkasa di setiap peringkat, sejajar dengan matlamat memperkukuh nilai Islam dalam kepimpinan dan masyarakat. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit