Ab Rauf Zahir Dukacita, Lima Sekeluarga Terkorban Dalam Kebakaran

MELAKA, 13 Feb – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mewakili kepimpinan Kerajaan Negeri Melaka menzahirkan dukacita yang amat mendalam di atas kejadian kebakaran rumah separuh kekal yang mengorbankan lima sekeluarga dalam kejadian di Kampung Berangan 6, Umbai, Merlimau, awal pagi ini.

Dilaporkan, lima mangsa yang terkorban dalam kebakaran ini ialah seorang wanita berusia 35 tahun, 3 kanak-kanak perempuan berusia 13, 6, dan 3 tahun, dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun, manakala, seorang lagi lelaki dewasa berusia 34 tahun selamat dan sedang mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.

“Saya berdukacita di atas musibah yang menimpa dan berdoa agar semua keluarga mangsa diberikan ketabahan dalam menghadapi saat-saat yang sukar ini.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh semua mangsa dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman. Al-Fatihah,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan pada 1.40 pagi tadi sebelum 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau dan Padang Temu bergegas ke tempat kejadian.

Sebaik tiba di tempat kejadian, rumah separuh kekal berkeluasan 20×60 kaki persegi itu telah pun 80 peratus terbakar. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit