Negeri Sabah Tidak Boleh Diperintah Kumpulan Tiada Hala Tuju Dan Visi – Sharif Musa

KUALA LUMPUR, 12 Feb – Negeri Sabah tidak boleh diperintah oleh kumpulan yang tiada hala tuju dan perancangan serta visi untuk masa depan negeri, kata Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul.

Jelasnya, selama dua penggal Barisan Nasional (BN) tidak memerintah Negeri Sabah, pelbagai perkara yang telah berlaku melibatkan rakyat dan pentadbiran.

“Alhamdulillah! Bersama Naib Presiden UMNO Malaysia merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani. Pelbagai pandangan dan nasihat hala tuju UMNO Sabah, pastinya semua yang telah disampaikan memberi impak terbaik untuk rakyat serta negeri Sabah.

“Tidak lama lagi kita akan menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN). Dua penggal BN tidak memerintah Negeri Sabah apa yang terjadi? Sebab itu Sabah ini tidak boleh diperintah oleh kumpulan yang langsung tiada hala tuju dan perancangan serta visi demi masa depan Sabah.

“UMNO Sabah hari ini, ahlinya adalah rakyat kebanyakan yang marhaen. Walaupun ada di kalangan pimpinan parti yang berkelebihan, mereka berjiwa rakyat. Mereka tidak menunjuk-nunjuk akan kekayaan. Mereka tidak memisahkan diri dari rakyat dengan tembok protokol,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya, trek rekod BN mentadbir Negeri Sabah dapat dilihat apabila manifesto berjaya mencapai peratus pelaksanaannya sehingga negeri tersebut memiliki Lebuh Raya Pan Borneo.

“UMNO Sabah hari ini digelar sebagai kelab yang eksklusif oleh rakyat Sabah. Ramai dikalangan rakyat Sabah yang telah sedar dan bersama UMNO Sabah. Setiap hari di Bahagian-Bahagian UMNO, ada sahaja rakyat mendaftar sebagai ahli UMNO.

“Mudah-mudahan, pada PRN Sabah kali ini UMNO Sabah memerintah. Akan terurailah segala simpulan dan tekanan rakyat. Akan tertunailah seluruh hajat didamba dan tercapai segala hasrat yang rakyat diinginkan. Pastinya rakyat Sabah amat rindukan dan dahagakan jalan raya yang baik, bekalan air bersih yang mencukupi serta bekalan elektrik yang tidak terputus. Insya-Allah!

“Sejarah negara membuktikan sebelum BN kalah 2018… akhir November 2017 dalam Akujanji Kerajaan BN, melalui 17 inisiatif dan 156 inisiatif strategik telah berjaya dicapai peratus pelaksanaannya sehingga Sabah memiliki Pan Broneo, Pejabat Ketua Menteri Sabah, Mahkamah Sabah, serta banyak lagi. Janji UMNO/BN adalah azimat kejayaan buat rakyat!” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit