Jelajah Orang Johor 2025 Bermula, Insiatif Onn Hafiz Bersama Rakyat
KUKUP, 12 Feb – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi telah merasmikan program Jelajah Orang Johor (JOJ) 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup, menandakan permulaan inisiatif penting Kerajaan Negeri dalam mendekati rakyat serta menyampaikan pelbagai bentuk bantuan dan inisiatif.
Ujarnya, program JOJ bukan sekadar lawatan semata-mata, tetapi merupakan komitmen kerajaan untuk memastikan kepimpinan tertinggi negeri, ketua-ketua jabatan dan pemimpin akar umbi dapat mendengar secara langsung permasalahan serta keperluan rakyat.
“Program ini menjadi platform penting bagi kerajaan negeri dalam menyampaikan dasar dan inisiatif, selain mendapatkan maklum balas terus daripada rakyat bagi memastikan pembangunan Johor lebih menyeluruh dan inklusif,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya semalam.
Terangnya, antara inisiatif utama yang diketengahkan dalam program JOJ termasuk pelaksanaan Jualan Kasih yang menerima peruntukan keseluruhan sebanyak RM6.6 juta, program baik pulih dan bina baru rumah dengan peruntukan RM27.7 juta, serta Program Dapur Kasih yang diperuntukkan sebanyak RM3.9 juta.
Selain itu katanya, kerajaan turut memperuntukkan RM243 juta menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk 231,000 penerima dan RM212 juta melalui Majlis Agama Islam Negeri Johor bagi membantu 209,000 asnaf di negeri ini serta Bantuan Bilik Guru yang diperuntukkan RM5.97 juta kepada 1,194 sekolah seluruh Johor.
“Setiap program dan inisiatif ini bukan bersifat one-off dan akan diteruskan ke seluruh DUN lain di negeri Johor.
“Buat seluruh Bangsa Johor, nantikan kehadiran JOJ 2025 di kawasan anda,” katanya lagi. – UMNO Online