Gerakan Teraju Pahang: Pas Pernah Belot, Tidak Mampu Membantu Rakyat – Rosni Zahari
KUALA LUMPUR, 12 Feb – Rakyat di Negeri Pahang perlu ingat bahawa Pas pernah belot pada satu ketika dahulu dan telah terbukti tidak mampu untuk membantu masyarakat, kata Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Rosni Zahari.
Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran turut menegaskan bahawa pelbagai inisiatif untuk rakyat telah dilakukan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sepanjang mentadbir.
“Pas ini memang itulah azam dan tekadnya untuk menawan Negeri Pahang. Tapi tak semudah itulah sebab mereka ini hanya pandai bercakap. Terutamanya yang jadi wakil rakyat… tidak ada apa yang mereka boleh bantu rakyat dalam satu penggal ini.
“Masa kita dalam Muafakat Nasional (MN) dulu, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy bantu mereka dengan memberikan peruntukan yang sama dengan wakil rakyat Barisan Nasional (BN). Tetapi, ternyata mereka telah belot.
“Ini kerana terdapat bungkusan kotak makanan yang disumbangkan oleh Datuk Seri Wan Rosdy, mereka (Pas) ambil kemudian tukarkannya, letak dalam beg warna hijau mereka. Kononnya nak mengatakan bahawa bungkusan makanan tersebut adalah daripada mereka kepada rakyat. Saya rasa itu adalah satu perbuatan yang tidak baik,” katanya kepada UMNO Online.
Ujarnya, beliau yakin bahawa rakyat di Negeri Pahang tahu menilai dengan segala kemakmuran yang telah dikembalikan kepada mereka, hasil daripada pendapatan negeri.
“Mereka (Pas) suka uar-uarkan perkara yang kecil. Kadang-kadang mereka hantar ikan sekilo, sayur seikat pun nak buat publisiti besar-besaran. Saya rasa rakyat Negeri Pahang ini cerdik dan tahu menilai. Tidak semudah itulah mereka untuk tawan Negeri Pahang.
“Walaubagaimanapun, kita tidak akan berada dalam ‘comfort zone’. Kita akan terus bekerja mendekati masyarakat dan para pengundi. Insya-Allah, saya rasa pengundi-pengundi ini tahu untuk berterima kasih,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa Wanita UMNO Negeri Pahang sedang giat menjalankan gerak kerja mendekati para pengundi dengan program bacaan Yasin dan taqarrub.
“Alhamdulillah, kami Wanita UMNO bahagian di Pahang ini sangat bertuah kerana mempunyai Menteri Besar yang sangat prihatin dan memahami. Kami telah menyusun beberapa program antaranya kita turun ke pusat-pusat daerah mengundi (PDM) untuk melaksanakan program Yasin dan taqarrub.
“Kita menggunakan program taqarrub ini untuk menjelaskan isu-isu semasa dan memberi penerangan mengenai isu semasa kepada para pengundi sangat dahagakan maklumat-maklumat, terutamanya berkenaan dengan kes 1MDB, SRC serta pertuduhan ke atas Presiden. Saya menggunakan peluang ini untuk menerangkan dengan sejelas-jelasnya kepada para pengundi.
“Alhamdulillah, di setiap bahagian kita diarahkan untuk mengadakan 30 program Yasin dan taqarrub. Insya-Allah, pada bulan puasa kelak, kita adakan program Ihya Ramadhan. Saya rasa pendekatan ini adalah yang sangat berkesan kerana ketika kita mengadakan program ini ramai golongan sasar yang hadir,” katanya lagi.
Menurutnya, Wanita UMNO amat berbesar hati untuk terus melaksanakan program mendekati para pengundi seperti ini dan Rosni turut berharap ia mampu membina kembali keyakinan rakyat kepada UMNO/BN.
“Ini dilakukan dengan harapan apabila saya menyampaikan penerangan ini, mereka dapat maklumat dan akan sampaikan kepada masyarakat di bawah. Pastilah kita mengharapkan keyakinan itu kembali kepada UMNO/BN terutamanya dengan usaha yang telah dibuat oleh Menteri Besar. Pelbagai inisiatif telah disediakan oleh Kerajaan Negeri Pahang untuk rakyat.
“Menteri Besar juga telah menggunakan jentera-jentera parti terdiri daripada Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri untuk menyampaikan sumbangan kepada yang memerlukan.
“…ada sumbangan ‘Pride Kid’ dan juga Bantuan Prihatin Pahang untuk kita sampaikan kepada rakyat. Untuk mereka yang tidak dapat hadir ke majlis sumbangan tersebut, kita pergi cari mereka di rumah pula. Alhamdulillah, saya nampak para jentera parti, memang berbesar hati dan seronok apabila dapat mendekati para pengundi di bawah,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman