ADUN Gemencheh Beri Bantuan Persekolahan, Ringankan Beban Golongan Asnaf
KUALA LUMPUR, 12 Feb – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, Suhaimizan Bizar berbesar hati memberikan bantuan persekolahan kepada golongan asnaf.
Bantuan tersebut disampaikan untuk meringankan beban mereka sempena pembukaan musim persekolahan pada minggu hadapan.
“Program Back To School ini bertujuan untuk membantu golongan miskin, terutama golongan B40 dan asnaf yang tidak berkemampuan untuk membeli barangan keperluan sekolah.
“Langkah positif dalam membantu memastikan anak-anak dari golongan miskin dapat memulai musim persekolahan dengan penuh semangat dan tanpa beban berat.
“Bantuan yang diberikan juga bertujuan untuk mengurangkan beban ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan sekolah bagi anak-anak mereka,” menerusi perkongsian di Facebook.
Pelajar yang terpilih juga diberikan peluang untuk memilih sendiri barang-barang keperluan yang diinginkan untuk memulakan penggal persekolahan yang akan tiba nanti.
“Saya mengucapkan selamat kembali ke sekolah. Mari kita mulakan tahun ini dengan semangat baru, tekad yang kuat, dan hati yang terbuka untuk belajar dan berkembang. Semoga tahun ini penuh dengan kejayaan dan kenangan manis,” ujar beliau. – UMNO Online