Wanita UMNO Tunjang Kekuatan Parti, Tak Kenal Erti Lelah Berjuang Agenda Rakyat – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 10 Feb – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan Wanita UMNO sebagai kekuatan parti dalam membawa perjuangan untuk mendukung agenda rakyat dan negara.

Beliau berkata sebagai tulang belakang parti, Wanita UMNO telah melaksanakan pelbagai gerak kerja dalam memastikan parti keramat ini terus mendapat tempat di hati rakyat.

“Dari Lipis, Pahang saya meneruskan permusafiran ke Negeri di Bawah Bayu, Sabah bagi memenuhi undangan Wanita UMNO Sabah dalam sesi perkongsian di Retreat Wanita UMNO Sabah yang berlangsung di The Klagan Regency Hotel 1Borneo, Kota Kinabalu, Sabah.

“Wanita UMNO sentiasa menjadi tunjang kekuatan parti yang tidak pernah kenal erti penat lelah dalam memperjuangkan agenda UMNO dan terus membela nasib rakyat.

“Terima kasih atas segala pengorbanan Wanita UMNO demi survival parti ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook ketika berkongsi kehadirannya ke program terbabit.

Dr Asyraf dalam pada itu meluahkan harapan agar retreat kali ini menjadi platform terbaik untuk memperkukuh dan memperkemas gerak kerja menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah yang akan datang.

“UMNO terbina atas perjuangan untuk rakyat dan kitalah penyambung legasi parti keramat melayu UMNO ini demi kelangsungan agama, bangsa dan tanah air,” katanya.

Terdahulu Dr Asyraf sebelum ini ke UMNO Bahagian Lipis yang merupakan bahagian ke-69 untuk siri jelajah tersebut. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit