Peluncuran Akademi Jaya Bersama: Latihan, Pengkaderan Perlu Dilakukan Secara Konsisten – Wan Rosdy
KUALA LUMPUR, 10 Feb – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menegaskan bahawa latihan dan pengkaderan generasi pelapis UMNO perlulah dilakukan secara konsisten.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Perkaderan dan Latihan UMNO Malaysia menerusi satu kenyataan, merakamkan ucapan tahniah kepada UMNO Bahagian Johor Bahru di atas kejayaan peluncuran Akademi Jaya Bersama iaitu sekolah politik UMNO bahagian tersebut.
“Saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada UMNO Bahagian Johor Bahru di atas kejayaan peluncuran Akademi Jaya Bersama iaitu sekolah politik UMNO bahagian berkenaan. Sudah tentu matlamat penubuhannya adalah untuk memperkasa dan mengukuhkan lagi UMNO.
“Latihan dan perkaderan generasi pelapis UMNO bukanlah satu tugas yang boleh dibuat sambil lewa, tetapi harus konsisten. Pimpinan di peringkat atas mahupun di akar umbi mestilah senada melaksanakan tanggungjawab yang berat ini, kerana masa depan daya saing UMNO di pentas politik nasional atau antarabangsa, bergantung kepada komitmen pemimpin semasa menyediakan pelapis,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut menyeru semua pihak untuk terus berjuang dengan penuh iltizam bagi melahirkan pemimpin muda demi membuktikan kesetiaan UMNO berkhidmat kepada agama, bangsa dan tanah air.
“Melahirkan pemimpin pelapis untuk menjaga kesucian agama Islam mahupun kepentingan hak-hak Melayu adalah fardu kifayah pimpinan semasa. Sejarah telah membuktikan hanya parti-parti politik dunia yang sedar dan insaf akan tanggungjawab ini akan kekal relevan walaupun ditindas atau diancam oleh musuh politik.
“Marilah kita bersama-sama terus tanpa jemu berjuang dengan penuh iltizam melahirkan pemimpin muda, pelapis dan berkualiti demi membuktikan UMNO kekal terus bersetia dan berkhidmat. Bukan saja kepada negara ini tetapi kepada masa depan orang Melayu dan rakyat Malaysia. Sekali lagi tahniah kepada UMNO Bahagian Johor Bahru,” katanya lagi. – UMNO Online