Bung Moktar Turun Padang Tinjau Kawasan Banjir, Sampaikan Bantuan Kepada Mangsa

KUALA LUMPUR, 10 Feb – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin turun padang melihat sendiri situasi banjir terkini yang melanda beberapa kawasan di Kinabatangan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata kunjungannya itu bagi mengetahui secara terperinci bencana banjir tersebut untuk menyampaikan bantuan secara khusus bagi memudahkan usaha pengurusan bencana.

“Alhamdulillah saya telah mengadakan lawatan ke Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Kinabatangan bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai situasi banjir yang melanda daerah ini.

“Ketibaan saya disambut oleh Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Supt Ravi, bersama ketua-ketua agensi tindak balas kecemasan daerah dan taklimat operasi banjir disampaikan oleh Kapt (PA) Ahmad Roslan Mohd Kamel serta saya turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada PKOB bagi membantu usaha pengurusan bencana di daerah ini,” katanya menerusi satu kenyataan.

Bung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag seterusnya melakukan tinjauan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Garam untuk bertemu dengan mangsa banjir.

Dalam lawatan tersebut beliau berkesempatan beramah mesra dengan mangsa banjir di samping menyampaikan sumbangan kepada mereka sebagai tanda keprihatinan terhadap kesusahan yang dialami.

“Selain itu, saya juga turun padang meninjau sendiri perkembangan banjir di kawasan Pangkalan dan Kampung Muhibbah, sebelum bergerak ke Kampung Mengaris, Sukau bagi melihat keadaan banjir di kawasan tersebut.

“Saya berharap semua mangsa banjir dapat bersabar dan tabah menghadapi ujian ini dan menyeru semua pihak agar terus bekerjasama dalam memastikan keselamatan dan kebajikan mangsa terpelihara.

Bung dalam pada itu turut sama merakamkan jutaan penghargaan kepada semua agensi terlibat dalam membantu mangsa banjir sambil memaklumkan bahawa kerajaan serta agensi berkaitan akan terus memberikan bantuan sewajarnya bagi memastikan kebajikan rakyat terbela.

Terdahulu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan jumlah mangsa meningkat kepada 1,034 orang daripada 322 keluarga, berbanding 989 orang daripada 308 keluarga pada semalam.

Menurut kenyataan itu, 538 orang daripada 177 keluarga ditempatkan di dua PPS daerah Beaufort, 275 orang (71 keluarga) di dua PPS daerah Kinabatangan, manakala mangsa banjir di Membakut meningkat kepada 221 orang (74 keluarga) yang berlindung di sebuah PPS. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit