Ahmad Zahid Yakin KEMAS Akan Terus Pacu Perubahan Dalam Negara
KUALA LUMPUR, 10 Feb – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin bahawa KEMAS akan terus memainkan peranan penting dalam memperkasa pembangunan masyarakat, khususnya di kawasan desa, menerusi pelbagai program strategik dan inklusif.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, ia bukan sahaja memberi tumpuan kepada pendidikan awal kanak-kanak tetapi juga berperanan sebagai pemacu transformasi sosioekonomi desa sejak lebih enam dekad yang lalu.
“Sebagai sebahagian daripada transformasi ini, KEMAS juga akan merombak struktur program-program utama seperti Hari Potensi Tabika KEMAS, Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku (WINS), Festival Kesenian Islam (iFest) dan program lain – akan disatukan di bawah satu program utama yang dikenali sebagai Festival KEMAS (FESMA).
“Langkah ini bukan sahaja dapat mengurangkan kos operasi seperti logistik, penyewaan dan tenaga kerja, malah meningkatkan keberkesanan dan kesepaduan program yang dilaksanakan. Anjakan ini adalah strategi konkrit untuk memperkukuh pendidikan awal kanak-kanak dan memberdayakan masyarakat desa.
“Saya yakin dengan langkah-langkah strategik ini, KEMAS akan terus menjadi pemacu perubahan dalam membina sebuah negara yang maju dan masyarakat desa yang lebih dinamik. Insya-Allah,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.
Ujarnya, KEMAS telah menjadi tonggak utama dalam pembangunan masyarakat desa sejak lebih enam dekad yang lalu bukan sekadar penyuluh pendidikan awal kanak-kanak, malah menjadi pemangkin perubahan dalam landskap sosioekonomi desa.
“Bermula dengan memerangi buta huruf, KEMAS kini berperanan lebih luas – membentuk modal insan berkualiti, memperkukuh kesejahteraan sosial, dan menjadi enjin pemerkasaan ekonomi desa.
“Pada tahun 2023, KEMAS telah melakukan satu langkah proaktif dengan menjadikan pendidikan al-Quran sebagai teras utama dalam pembentukan kanak-kanak Islam di TABIKA KEMAS. Matlamatnya jelas – melahirkan generasi huffaz cilik yang bukan sahaja menguasai hafazan al-Quran bagi surah-surah dalam Juzuk Amma, tetapi juga memahami adab dan tadabbur dalam kehidupan mereka.
“Usaha ini bermula dengan pelaksanaan rintis di 100 TABIKA KEMAS, melibatkan 1,500 kanak-kanak. Alhamdulilah sambutan yang diterima sangat menggalakkan sehingga pada tahun 2024, penyertaan meningkat kepada 55,269 kanak-kanak.”
Ahmad Zahid juga percaya ini membuktikan bahawa masyarakat menyambut baik usaha KEMAS untuk memperkukuhkan nilai-nilai Islam dalam sistem pendidikan awal kanak-kanak negara.
“Insya-Allah melihat kepada kejayaan ini, pada tahun 2025, kita akan melaksanakan perluasan besar-besaran dengan menubuhkan 4,000 kelas TABIKA Pra Tahfiz, melibatkan seramai 60,000 kanak-kanak di seluruh negara.
“Ini adalah komitmen kita dalam memastikan pendidikan al-Quran terus menjadi tunjang dalam membina generasi pewaris negara yang berakhlak, berilmu, dan berdaya saing,” katanya lagi. – UMNO Online